Partime Job

Thursday 22 March 2012

Bekalan elektrik lebih voltan


SKUDAI - Kira-kira 30 keluarga dari Jalan Palas, Taman Teratai, dekat sini, mendakwa kebanyakan alatan elektrik di rumah mereka rosak akibat daripada bekalan elektrik melebihi kadar voltan yang ditetapkan.

Salah seorang penduduk, Ter Soon Doon, 40, berkata, ketika kejadian jam 3 petang kelmarin, dia sedang menggunakan komputer ribanya sebelum ianya terpadam dan mengeluarkan asap.

“Saya dan ibu amat terkejut. Bukan itu sahaja, kipas yang dipasang dengan kelajuan paling minima pula berpusing dengan kuat, seolah-olah mahu tercabut. Komputer yang dipasang juga turut mengeluarkan asap.

“Begitu juga dengan alat penyaman udara yang tidak dipasang turut mengeluarkan letupan kecil. Kami sekeluarga terus keluar rumah untuk bertanya jiran yang lain dan mereka memberitahu turut menerima nasib yang serupa.

“Selepas itu, kami terus menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memaklumkan perkara sedemikian. Saya anggarkan kerugian yang dialami hampir mencecah RM8,000. Kejadian seumpama ini adalah pertama kali berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Teratai, di sini, semalam.

Perkara sama juga turut disuarakan seorang penduduk, Loi Choon Har, 36, yang memberitahu kebanyakan perkakas elektriknya rosak seperti televisyen, peti ais, komputer, pagar elektrik, penyaman udara dan lain-lain yang dianggarkan kira-kira RM7,000 .

“Banyak kerugian yang dialami. Kami terpaksa mengeluarkan belanja untuk membaiki kerosakan yang dialami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Perkhidmatan Pelanggan dan Pemasaran TNB negeri, Mohamed Noh Md Seth berkata, pihaknya terus ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan kerosakan berkenaan sekitar 5 petang.

"Siasatan mendapati pencawang elektrik nombor 3, Jalan Palas, 25 di taman terbabit telah diceroboh dan alat pemasangannya telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kesan kecuriannya mengakibatkan voltan menjadi tidak stabil hingga melebihi kadar voltan yang ditetapkan.

“Bagi kes kerugian yang dialami penduduk boleh membuat tuntutan kepada TNB. Kami akan cuba membayar mereka dalam bentuk sagu hati. Sekiranya mereka tidak berpuas hati, mereka boleh merujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya.

Sementara itu, Ahli Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, biarpun insiden seperti ini pertama kali berlaku, dia mencadangkan agar pihak TNB melakukan penguatkuasaan terhadap pencawang mereka pada masa akan datang.

“Saya minta penduduk terlibat melantik jawatankuasa bertindak. Mereka boleh membuat laporan polis dan menyenaraikan kerosakan dan kerugian yang dialami berserta bukti. Saya juga meminta pihak TNB melakukan pemantauan atau melantik kontraktor untuk menyemak keadaan setiap pencawang agar peristiwa ini tidak berulang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: