Partime Job

Tuesday 27 March 2012

Sokongan Sahabat bantu kejayaan

KUALA LUMPUR: Penubuhan Sistem Pusat terhadap peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) atau Sahabat AIM mewujudkan semangat kesepakatan, bantu-membantu dan disiplin di kalangan mereka.

Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri berkata, Sistem Pusat atau kumpulan itu banyak membantu kejayaan Sahabat dalam perniagaan mereka sekali gus mampu bebas daripada belenggu kemiskinan.


“Setiap anggota kumpulan itu secara tidak langsung boleh bertindak sebagai ‘peer support’ dengan memberi sokongan moral sekiranya seorang daripada mereka bermasalah dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat AIM di Bandar Sri Damansara, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap kumpulan boleh membentuk satu lingkungan yang menyokong di antara satu sama lain.


“Sekiranya seorang daripada mereka bermasalah akan ada orang lain mengambil berat. Sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan apabila menghadapi masalah,” katanya. Nor Fazidah berkata, prosedur untuk menyertai Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) ialah pemohon yang sudah disahkan layak menyertai AIM perlu menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada lima orang peminjam sama jantina yang tiada tali persaudaraan rapat serta saling mempercayai di antara satu sama lain.


Selepas mengumpul lima orang, mereka perlu mengikuti kursus wajib jangka pendek selama lima hari mengenai peraturan dan syarat AIM. Apabila lulus dalam Ujian Pengiktirafan Kumpulan, semua ahli kumpulan perlu menyertai Sistem Pusat iaitu gabungan dua hingga 10 kumpulan.

Ahli Sistem Pusat bermesyuarat setiap minggu dan semua urus niaga AIM seperti permohonan, penyerahan modal pembiayaan, bayar balik serta kutipan simpanan wajib diadakan di Mesyuarat Pusat.


Nor Fazidah berkata, dalam mesyuarat itu juga ahli membentangkan projek masing-masing termasuk masalah dan ia diseliakan seorang pembantu amanah daripada AIM.

“Kehadiran dalam Mesyuarat Pusat adalah wajib. Kehadiran ini dinilai bagi melayakkan Sahabat membuat pinjaman seterusnya.


“Jika kedatangannya 80 peratus ke atas, tidak akan ada masalah. Begitu juga dengan masalah berkaitan projek tidak lebih daripada 20 peratus. Namun ia boleh dikecualikan sekiranya sakit, membabitkan masalah keluarga atau menunaikan haji, tetapi tidak boleh tidak hadir lebih daripada 10 kali tanpa sebab,” katanya.


Beliau berkata, kegagalan atau kegigihan Sahabat hadir ke Mesyuarat Pusat boleh menunjukkan kesungguhan atau sikap tidak serius mereka dalam bidang perniagaan yang diusahakan.

sumber : mymetro

No comments: