Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Salah guna pinjaman

KUALA LUMPUR: Melancong, mengadakan majlis kenduri, membeli kereta dan peralatan elektrik antara kesalahan salah guna wang pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di kalangan Sahabat AIM.

Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri berkata, walaupun masalah itu berlaku, tetapi ia masih terkawal dan dianggap kes terpencil.


“Meskipun menggunakan wang itu ke arah lain, mereka masih membuat pembayaran balik. Dalam kes sebegini, kebiasaannya mereka tidak diberikan jumlah pinjaman dua kali ganda untuk pinjaman seterusnya. “Contohnya jika dia membuat pinjaman pertama RM3,000, dia tidak layak meminjam RM6,000 bagi pinjaman kedua, sebaliknya kami hanya memberikan jumlah sama atau RM4,500 saja,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, Sahabat AIM masih boleh menggunakan wang itu untuk keperluan lain, tetapi dengan syarat ia digunakan untuk projek masing-masing. Sebagai contoh, kereta dibeli dengan tujuan sebagai pengangkutan bagi urusan perniagaannya.


Nor Fazidah berkata, AIM juga tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjamnya yang melarikan diri bersama wang pinjaman tanpa membuat bayaran.


“Ini memang polisi kami sejak awal lagi. Kami berpandukan kepada ikrar Sahabat dalam setiap mesyuarat mingguan apabila menjadi tanggungjawab mereka kepada Allah untuk berikhtiar mencari rezeki dan membantu ahli kumpulan dan pusat apabila mereka di dalam kesusahan.

“Dalam erti kata lain, mereka perlu sedar tanggungjawab masing-masing. Lagipun, jika mereka tidak membayar, rakan dalam kumpulan itu yang membayarnya,” katanya.


Dalam pada itu, AIM juga tidak berdepan masalah bayaran balik apabila sehingga Januari lalu kadar bayaran balik sebanyak 99.6 peratus.

Nor Fazidah berkata, daripada 287,975 Sahabat AIM di seluruh negara, hanya 3,120 orang saja atau kira-kira 0.04 peratus yang bermasalah dengan pembayaran pinjaman.


Menurutnya, Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Shah Alam dan Selayang di Selangor mencatat jumlah paling ramai bermasalah dengan pembayaran balik iaitu 1,634 orang.


“Cawangan Gua Musang di Kelantan dan Rompin di Pahang turut mengalami masalah serupa. Bagaimanapun, negeri lain tidak mengalami masalah dan kadar bayaran balik adalah 100 peratus,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: