Partime Job

Monday 19 March 2012

Siasatan pelumba basikal maut dirempuh selesai

KUALA LUMPUR — Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes langgar lari membabitkan pelumba dari Kelab Basikal Le Tua yang maut dirempuh kereta berhampiran Taman Melawati, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan kes itu selesai selepas seorang lelaki berusia 20 tahun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 11 pagi semalam.

"Kita telah merakam keterangan suspek untuk melengkapkan siasatan kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amiruddin berkata, lelaki warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.

Polis akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga, ketika berbasikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Taman Melawati ke arah Gombak.

Kenderaan itu kemudian meninggalkan tempat kejadian, namun nombor pendaftaran kenderaan terbabit tercicir di situ akibat kemalangan tersebut.— BERNAMA

No comments: