Partime Job

Monday 19 March 2012

Pembantu kedai langgar rumah mertua dipenjara

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai emas dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap tuduhan merosakkan harta benda rumah bapa mertuanya.

Tertuduh, Afzainiezam Hassan, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah Tran Tan Nhut bernombor 17866, Taman Semarak, Kuala Terengganu, dengan sengaja melanggar pintu pagar rumah mertuanya itu dengan kereta sehingga tercabut angkara perselisihan faham pada 7.30 pagi, 25 Februari lepas.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Afzainiezam yang beralamat di Kuaters Pejabat Haiwan daerah Marang dikatakan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Insp Miky Dunstan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Tran membuat laporan polis bahawa tertuduh pernah melakukan perkara sama sebanyak tiga kali.

Di Mahkamah Majistret yang sama, perbicaraan ke atas seorang buruh yang didakwa membunuh pembantu kedai kain, 1 Februari lalu ditunda selepas Majistret Abdul Hayyi menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.

Kes ditunda untuk menunggu laporan pemeriksaan doktor dan kimia.

Albert a/k Majang, 23, berasal dari Melikin, Serian, Sarawak didakwa membunuh Wan Manisah Wan Mansur di tingkat bawah kedai UB Textiles Sdn Berhad, Lot, PT 3502(7), Pusat Niaga Paya Keladi, di sini, pukul 8 malam.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments: