Partime Job

Monday 26 March 2012

Sekali pandang macam ular


KUALA PILAH – “Sekali pandang ia seperti ular,” kata seorang peniaga di Pasar Awam Kuala Pilah, di sini.

Menurut Lee Chee Khing, 36, keadaan wayar elektrik yang tersangkut selepas kerja penanggalan wayar dilakukan di pasar itu mengundang kebimbangan orang ramai, khususnya peniaga di situ.

Katanya, kerja menaik taraf pemasangan pendawaian akibat kebakaran enam bulan lalu, berjalan lancar sejak seminggu lalu. Namun, dia mendakwa ciri-ciri keselamatan tidak dititik beratkan.

“Pihak berkaitan seolah-olah tidak memandang berat soal keselamatan peniaga dan pelanggan.

“Wayar itu tersangkut atas kayu penahan bumbung pasar. Saya sudah maklumkan kepada pihak berkenaan supaya menurunkan wayar itu, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil sejak lima hari lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Chee Khing berkata, akibat masalah wayar itu, pelanggan di gerainya rasa kurang selesa untuk membeli.

“Setiap kali pelanggan datang ke sini, mereka minta saya turunkan wayar itu kerana bimbang perkara buruk berlaku.

“Kalaulah saya tahu buat sendiri, sudah tentu saya akan turunkan sendiri. Tetapi masalah ini adalah tanggungjawab kontraktor yang lebih pakar,” katanya.

Menurutnya, aduannya itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi bagi memastikan mana-mana pekerja kontraktor diamanahkan supaya lebih teliti.

“Bukan sekadar menyiapkan kerja yang telah dipertanggungjawabkan tetapi sama-sama menjaga keselamatan semua pihak,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: