Partime Job

Monday 26 March 2012

Senyuman manis pelaris makanan tradisional Pekan Rabu

ALOR SETAR - Pendekatan menggunakan gadis manis untuk melariskan makanan tradisional di Pekan Rabu bukan sahaja dapat menarik kedatangan pengunjung ke tempat berkenaan tetapi menambah hasil pendapatan peniaga.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pemilik kedai memilih pekerja yang mempunyai pakej seperti berwajah ayu, mudah tersenyum serta ramah melayan pelanggan untuk memikat hati mereka untuk singgah di kedai masing-masing.

Salah seorang penjual makanan tradisional, Nor Ain Johari, 27, berkata, beliau mula bekerja di kedai berkenaan sejak empat tahun lalu setelah mengikut seorang rakan yang sama-sama mencari kerja di situ.

“Banyak pengalaman pahit manis melayan karenah pelanggan yang datang terutama ketika musim cuti sekolah. Namun semua itu menjadi asam garam kepada kami bagi memastikan mereka membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.

“Peluang bertemu ramai orang turut membuka jalan kepada beberapa orang rakan sekerja saya bertemu jodoh dengan orang luar seperti Perak. Semuanya secara kebetulan dalam sibuk melayan mereka membeli, ada pelanggan yang mengambil peluang untuk berkenalan,” katanya.

Nor Ain turut menyimpan hasrat untuk membuka sendiri perniagaan setelah memahami selok-belok dunia perniagaan serta mempunyai modal yang mencukupi.

Nur Izzati Syafiqah Zulkifli, 22, bekerja di kedai secara sambilan selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini menanti kerja tetap selepas menamatkan pengajian dalam diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pekerjaan ini secara tidak langsung memberi saya ilmu berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelanggan yang datang dari luar negara.

“Berbanding dengan jurujual di pasar raya, bayaran gaji di tempat ini lebih tinggi mengikut jumlah barangan yang dijual. Jika banyak barang dijual majikan akan bayar gaji lebih sedikit,” katanya.

Izzati agak bertuah kerana mendapat kerja di situ dengan bantuan neneknya yang secara kebetulan turut menghantar kuih tradisional untuk dijual di kedai majikannya.

Salah seorang penjual, Saphia Omar, 30, berkata, antara makanan tradisional yang sering menjadi pilihan pelanggan seperti kuih karas, kuih loyang, cakar ayam, peneran dan bunga pundak.

“Kami sudah biasa berhadapan pelanggan yang cerewet termasuk mahu membeli barangan dengan harga murah. Bagaimanapun semuanya diatasi secara toleransi. Nilai jualan ketika musim cuti sekolah boleh mencecah lebih RM3,000 sehari,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: