Partime Job

Thursday 22 March 2012

Sarang penagih diserbu


CHEMOR – Ladang kelapa sawit bukan lagi menjadi tempat untuk mencari sumber pendapatan sebaliknya dijadikan sarang paling strategik untuk menagih dadah secara tersembunyi.

Aktiviti yang tidak bermoral itu dibongkar dalam Ops Banteras Jenayah Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Kawasan Ulu Kuang, Tanah Hitam bersama PDRM di ladang kelapa sawit Ulu Kuang di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, polis berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan dipercayai menagih dadah di sekitar kawasan berkenaan termasuk seorang yang disyaki mengedar dadah di kawasan tersebut.

Polis juga merampas sepaket dadah jenis heroin, tiga tiub dan dua picagari yang masih belum digunakan yang disorok dalam dompet dua lelaki berkenaan.

Seorang lelaki berusia 48 tahun tidak serik apabila pernah ditahan beberapa kali sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 30 kilometer dari Jalong, Sungai Siput, semata-mata untuk melepaskan gian bersama dua lagi rakannya.

Mereka kemudiannya melarikan diri ke kawasan perumahan penduduk berhampiran dalam usaha mengelak diberkas tetapi gagal apabila ditahan anggota Rela selepas bergelut.

Dalam operasi itu, seorang lelaki berusia 44 tahun yang disyaki sebagai pengedar dadah menaiki Perodua Myvi berjaya ditahan di Kampung Cik Zainal kira-kira tujuh kilometer dari kawasan berkenaan.

Lelaki berkenaan dikehendaki pihak polis apabila dia dipercayai terlibat dalam pelbagai kes antaranya curi motosikal di sekitar kawasan Chemor dan Jelapang.

Bapa rayu anak ditahan

Dalam operasi itu, seorang bapa merayu polis menahan anaknya berusia 30 an yang kembali menjadi penagih dadah walaupun baru sahaja menjalani hukuman penjara lapan bulan di Penjara Sungai Petani, Kedah.

Namun, anaknya itu berjaya melarikan diri terlebih dahulu setelah mengetahui terdapatnya operasi berkenaan dijalankan di sekitar kawasannya.


Intipan 2 minggu bawa hasil

Ketua Operasi Rela, Hamdan Ishak berkata, intipan selama dua minggu membuahkan hasil setelah penduduk kampung mengadu hasil tanaman mereka dicuri sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan adalah penganggur dan sebahagiannya terlibat dalam kes curi bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

“Hasil pemantauan selama dua minggu kita terdapat kira-kira 30 penagih yang keluar masuk ke ladang itu setiap hari.

“Dengan tangkapan itu, diharapkan aktiviti penagih dadah dan kecurian dapat dilumpuhkan dengan kita mengadakan operasi secara berkala dengan bantuan polis,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, kesemua penagih itu merupakan penduduk tempatan dan sebahagiannya bekerja sebagai buruh ladang kini dibawa ke Balai Polis Khantan Baru untuk siasatan lanjut.

“Mereka ini menagih dadah jenis heroin dan mereka akan berkumpul di satu tempat melepas gian bagi memudahkan pengedar menjual dadah kepada mereka

“Dengan maklumat dari masyarakat setempat dan kerjasama dari polis, operasi ini menjadi mudah dijalankan bagi membasmi masalah penagihan dadah seterusnya jenayah kecil-kecilan di kawasan ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: