Partime Job

Thursday 22 March 2012

Pantau penduduk gaji rendah


SELAMA - Untuk memastikan masalah rakyat terutama masyarakat India terus mendapat perhatian, pihak Parti Progresif Penduduk (PPP) sering membuat lawatan dan berjumpa penduduk.

Terbaru, masalah kebanyakan penduduk India di Kampung Ladang Kuala Dingin yang menerima imbuhan gaji dibawah kadar kemiskinan juga diberi perhatian.

Setiausaha PPP Bahagian Kulim Bandar Baharu, Somasunderharem @ Soma Sinnapan berkata, kira-kira 32 keluarga di kampung itu kesemua bekerja sebagai buruh estet.

Menurutnya antara keluarga memerlukan dilawati pihaknya adalah kes seorang warga emas, Subramaniam Sinna Peia Anna yang mengalami sakit angin ahmar.

“Agak menyedihkan apabila anak sulung warga emas ini, Selvam Subramaniam, 28, lumpuh setelah terlibat kemalangan di Selama kira-kira 10 tahun lalu dan hanya mampu terlantar di katil sehingga hari ini.

“Dalam usia Subramaniam makin meningkat dan uzur, tidak banyak dapat dilakukan bagi membantu menampung pendapatan keluarga. Semua tugas itu diserahkan pada anak perempuannya Huppamah, yang bekerja buruh,” katanya.

Dalam pada itu, Huppamah berkata, dia mendapat gaji sekitar RM350 hingga RM400 sebulan dan kesemua digunakan bagi perbelanjaan harian dan perubatan bapa dan adiknya.

Menurutnya, adiknya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan kini berhasrat meminta jasa baik JKM untuk memberikan bantuan sama kepada bapanya.

“Jika ada bantuan JKM itu, ia dapat kurangkan beban saya alami. Hingga hari ini saya masih membiayai dua adik masih bersekolah. Kami perlu mengamalkan sikap berjimat untuk tidak membazirkan segala bantuan diterima,” katanya.

Mengulas berhubung kesusahan keluarga itu, Soma berharap JKM dan jabatan kerajaan supaya memantau keluarga yang menerima pendapa-tan dibawah garis kemiskinan.

“Kita akan terus membuat pemantauan masalah dihadapi oleh penduduk di kawasan ini. Saya percaya masih ramai masyarakat India yang tinggal jauh di pedalaman berhadapan masalah kemiskinan tegar.

“Kerajaan akan terus berusaha memastikan kemiskinan di tahap sifar, tetapi setiap masyarakat di sini harus menjalankan tanggungjawab mereka sebagai jiran dimana setiap keluarga daif yang berada di kampung mereka seharusnya diketengahkan,” katanya.

Soma berkata, tidak timbul soal pilih kasih dalam memberikan bantuan kerana Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri menunjukkan kerajaan berjaya mengurangkan jumlah kemiskinan di negara ini.

sumber : sinarharian

No comments: