Partime Job

Monday 26 March 2012

Rumah anak yatim terbengkalai

SELAYANG – Tanah seluas 3.2 hektar yang diwakafkan untuk pembinaan kompleks anak yatim di Bukit Beruntung sepatutnya siap tahun ini, terbengkalai selepas sebahagian peruntukan itu didahulukan untuk kemudahan asas jalan raya ke kompleks berkenaan.

Setiausaha Kerja Rumah Amal Anak Kesayanganku, Mohd Suhaimi Jalaludin berkata, kompleks yang kini siap 80 peratus itu mempunyai empat blok dengan satu daripadanya telah digunakan tanpa mempunyai kemudahan air untuk menempatkan 30 anak yatim berusia antara 11 hingga 12 tahun.

Menurutnya, tujuan asal kompleks itu dibina untuk mengumpulkan semua 200 anak yatim yang kini tinggal di 15 rumah yang disewa.

Beliau berkata, peruntukan kompleks itu bernilai RM300,000 dan RM30,000 digunakan untuk pembinaan kemudahan jalan raya selepas Kerajaan Negeri di bawah portfolio Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi bersetuju menggunakan kemudahan itu untuk projek perintis spirulina di tempat sama.

“Tiada perjanjian bertulis dibuat, namun melalui beberapa pertemuan, pihaknya memaklumkan akan menyalurkan RM49,000 untuk kemudahan bersama termasuk air, elektrik dan jalan raya, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran dibuat,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, pada peringkat permulaan, jalan yang siap sepenuhnya itu mengalami kerosakan selepas kekerapan lori keluar masuk ke kawasan projek membuatkan tanah terpaksa diturap semula.

“Selain kompleks anak yatim tertangguh, didapati projek spirulina itu juga mengalami masalah sama,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri menyegerakan pembayaran seperti yang dijanjikan sebelum ini agar kompleks anak yatim itu dapat diteruskan.

“Kami juga mohon supaya terdapat badan korporat dan persendirian yang sudi menyumbang dana untuk merealisasikan hasrat mengumpulkan anak yatim di satu kompleks dirancang.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihaknya prihatin dengan masalah yang dihadapi dan berjanji akan membantu mengumpul dana.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail ketika dihubungi memaklumkan akan membuat semakan semula kes berkenaan.

sumber : sinarharian

No comments: