Partime Job

Monday 26 March 2012

Bekalan air ditambah

KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor menjalankan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu yang telah siap sepenuhnya baru-baru ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, dengan pengoperasian LRA Sungai Labu, sistem agihan bekalan air sedia ada di beberapa kawasan bekalan LRA Sungai Semenyih akan mendapat tambahan bekalan air sejumlah 105 JLH (juta liter sehari) bermula Mac 2013.

Menurutnya, Peringkat Pertama LRA Sungai Labu telah mula beroperasi pada 20 Mac lalu dengan kapasiti bekalan sejumlah 45 JLH.

“Kawasan-kawasan yang akan menerima bekalan dari Peringkat Pertama LRA ini termasuk kawasan sekitar KLIA; Litar F1 Sepang; lain-lain kawasan di Sepang sehingga Sungai Pelek; Bagan Lalang; Tanjung Sepat dan Kundang.

“Manakala, Peringkat Kedua LRA dengan kapasiti reka bentuk berjumlah 60 JLH dijangka akan beroperasi pada Mac 2013 bagi membekalkan air ke kawasan sekitar Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, menerusi operasi LRA Sungai Labu Peringkat Pertama, jumlah keseluruhan kapasiti bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan meningkat kepada 4,371 JLH berbanding kapasiti semasa berjumlah 4,326 JLH.

Katanya, tambahan bekalan air ini dijangka secara langsung akan meningkatkan sejumlah kecil kapasiti rizab (berdasarkan purata permintaan) sebanyak satu peratus, iaitu daripada 2.47 peratus (106.8 JLH) kepada 3.47 peratus (151.8 JLH).

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan komited dalam menyelesaikan isu pembekalan air yang dihadapi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan usaha yang dilaksanakan juga menunjukkan bahawa kepentingan pengguna adalah diutamakan,” katanya.

Justeru Rozali berkata, Syabas berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha sepakat mereka terutamanya dalam aspek penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memandangkan isu tersebut telah tertangguh sekian lama.

“Apa yang lebih penting di sini adalah untuk memastikan pengguna menerima bekalan air tanpa sebarang gangguan berdasarkan permintaan dan kualiti bekalan yang ditetapkan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: