Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Resah setiap kali hujan lebat


KAMPUNG PELAM - Kira-kira 50 keluarga, di sini, merayu kerajaan supaya menaik taraf jalan di kampung mereka bagi mengelakkan ia ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh dan hujan lebat.

Batin Kampung Pelam, Husin Dagang berkata, jalan terbabit perlu ditambak bagi memastikan ia dapat digunakan seperti biasa walaupun pada musim tengkujuh.

Menurutnya, satu kajian perlu dijalankan bagi mengelakkan masalah sama berulang, seterusnya memudahkan penduduk keluar dan masuk ke kampung itu.

“Kerajaan perlu beri perhatian di kawasan berisiko tinggi berlakunya banjir seperti di kampung kami memandangkan masih tiada jalan penyelesaian bagi menanganinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Husin berkata, jika jalan ditenggelami air, penduduk berdepan kesukaran untuk keluar mencari hasil hutan kerana terputus hubungan dengan jalan utama dan menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

“Kami hendak keluar cari hasil hutan pun susah apabila kawasan ini tidak boleh dilalui pada musim-musim tertentu. Kami dihimpit tekanan setiap kali air naik ke jalan utama,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga khuatir jika berlaku kes kecemasan ketika jalan di kampung itu tidak boleh dilalui.

“Bagaimana jika ibu mengandung yang mahu bersalin hendak ke hospital kerajaan sedangkan mereka terpaksa meredah banjir menggunakan perahu untuk ke seberang jalan utama,” katanya.

Sehubungan itu, dia mewakili penduduk di situ menggesa kerajaan mengatasi masalah itu segera memandangkan mereka sudah tidak sanggup lagi terputus jalan perhubungan pada setiap tahun.

“Kami merayu kerajaan atasi masalah ini kerana kami tidak sanggup lagi meredah banjir dan terputus hubungan sehingga berminggu-minggu lamanya,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: