Thursday, 15 March 2012
Peniaga pasar alami kerugian
KUALA KRAU - Pasar di Pekan Kuala Krau umpama ‘hidup segan mati tidak mahu’ ekoran sikap peniaga kedai runcit yang dikatakan ‘mencuri’ periuk nasi peniaga di pasar basah itu.
Salah seorang peniaga pasar, Zakaria Yaakob, 62, berkata, peruncit tidak sepatutnya menjual barangan basah di kedai mereka kerana barangan tersebut perlu dijual di pasar basah.
Menurutnya, sikap segelintir peruncit yang mahu mengaut keuntungan lebih menyebabkan peniaga di pasar terpaksa gulung tikar.
“Dalam hal ini, kami minta pihak berkaitan supaya menghidupkan kembali operasi pasar basah ini sebagai pembekal barangan basah harian kepada orang ramai.
“Kedai runcit hanya menjual barangan runcit dan tidak boleh dicampur dengan barangan basah. Jika pasar ini hidup kembali pasti merancakkan lagi operasi jualan barangan basah,” katanya kepada Sinar Harian.
Zakaria berkata, di pasar ini, terdapat 24 gerai namun hanya lima gerai sahaja yang beroperasi bagi menjual ayam, daging, santan segar dan sayur-sayuran.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, dalam hal ini, satu undang-undang kecil dibuat bagi menghalang pekedai runcit menjual barangan basah.
Menurutnya, namun undang-undang itu tidak diendahkan dan perkara ini perlu dipandang serius supaya barangan basah hanya boleh dijual di pasar basah sahaja.
“Kita lihat berapa banyak pasar basah yang dibina tetapi akhirnya tidak digunakan ekoran barangan basah dijual di kedai runcit.
“Justeru, kita saran orang ramai supaya prihatin terhadap isu ini dan menyokong undang-undang ini dan membeli barangan basah di pasar,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment