Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Derita hidap kanser tulang


KERATONG 2 – Seorang penghidap barah tisu lembut pada bahagian kaki kiri yang baru saja menjalani pembedahan memotong kaki kirinya, kini sekali lagi terpaksa menanggung derita apabila lelaki itu disahkan menghidap kanser tulang sejak lebih setahun lepas.\

Samsul Khairi Sulaiman, 32, hanya mampu terlantar sahaja di atas katil di rumah ibunya di Felda Keratong, 2, di sini, sejak dia keluar daripada menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan di Klang, Selangor kira-kira tiga minggu lepas.

Samsul berkata, dia yang sebelum ini menjalani kehidupan normal seperti orang biasa terkejut apabila kaki kirinya membengkak membentuk benjolan yang besar hingga menyukarkan pergerakan hariannya.

“Saya sangka derita yang dialami sudah berakhir selepas saya menjalani rawatan memotong kaki, namun tidak menduga apabila penyakit lain pula yang datang hingga menyebabkan saya terus lumpuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsul berkata, dia terpaksa membuat keputusan untuk memotong kaki berikutan sudah tidak sanggup menanggung derita ekoran tidak berdaya akibat daripada pergerakannya semakin terbatas.

“Saya ingat selepas menjalani pembedahan ini, saya boleh guna kaki palsu untuk memulakan kehidupan baru, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila saya disahkan menghidap kanser tulang,” katanya.

Menurutnya, akibat penyakit kanser tulang yang dialaminya itu, bahagian belakang badannya pula ditumbuhi benjolan besar hingga menyebabkan urat sendinya berasa sakit dan sukar untuk bergerak.

“Badan berasa sakit, malah kadang-kadang rasa macam mahu pengsan dibuatnya apabila bisa penyakit ini tiba-tiba datang hingga membuatkan saya susah untuk tidur lena setiap hari,” katanya.

Katanya, selain rawatan moden, dia juga sudah mencuba mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tradisional, namun usaha itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ke atas dirinya.

“Sudah puas jumpa bomoh, tapi mereka hanya kata saya terkena buatan orang, tapi hingga kini, penyakit yang saya alami belum sembuh, malah menyebabkan saya terus dihimpit tekanan,” katanya.

Katanya, penyakit yang dialaminya itu juga, menyebabkan dia terpaksa berjauhan sementara dengan isterinya, Azurah Masizan Mohd Apandi, 32, serta seorang bayi perempuannya yang berusia sembilan bulan, Saidatul Aleyah.

“Isteri terpaksa cari rezeki di Klang, sementara saya pula dijaga oleh ibu sendiri sebaik saja keluar daripada hospital memandangkan terpaksa dipantau setiap hari,” katanya.

Sementara ibunya, Hasnah Ngah, 58, berkata, hatinya tersentuh apabila melihat keadaan anak yang dikandung sembilan bulan dan ditatang bagai minyak yang penuh tiba-tiba ditimpa penyakit kronik yang boleh meragut nyawa.

“Walaupun saya reda, namun pada hakikatnya, jantung saya bagaikan direntap apabila diberitahu mengenai keadaan kesihatannya semakin teruk dan memerlukan penjagaan dan rawatan rapi,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: