Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Rekahan longkang semakin besar


KAMUNTING – Rekahan kecil di belakang rumah sebelum ini hanya diabaikan penduduk, namun setelah enam bulan rekahan itu semakin besar dan menimbulkan kebimbangan penduduk, di Taman Bukit Mas, di sini.

Seorang penduduk, Ng, 50-an, berkata, sebelum ini bahagian tebing longkang di belakang rumahnya tidak serius dan hanya retakan kecil sahaja, bagaimanapun disebabkan hujan sejak akhir-akhir ini ia semakin membesar.

Menurutnya, bahagian long­kangnya sudah renggang sehingga menampakkan tanah di dalamnya.

“Keadaan ini membimbangkan saya dan keluarga kerana bimbang sesuatu yang buruk menimpa kami. “Rekahan ini hanya disedari sejak enam bulan lalu dan perkara itu telah diadukan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan mereka telah menghantar surat kepada saya supaya menghubungi pegawai berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, setakat ini, retakan itu sepanjang 50 meter melibatkan tiga rumah di taman perumahan tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Dun Pokok Assam, Datuk Ho Cheng Wang berkata, penduduk turut mengadukan hal berkenaan kepadanya.

Cheng Wang berkata, baru-baru ini pihak kontraktor telah datang untuk mengukur kawasan yang akan dibaiki.

“Dengan peruntukan sebanyak RM15,000, kerja-kerja pembaikan akan disiapkan dalam masa sebulan memandangkan sekarang musim hujan.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak MPT kerana prihatin dengan masalah penduduk. Sekiranya tidak dilakukan sesuatu mungkin keadaan akan bertambah teruk,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: