Thursday, 15 March 2012
MB cerita detik cemas
IPOH - “Saya kagum dengan semangat orang ramai tanpa mengira kaum yang saling bantu membantu untuk membantu mangsa kemalangan tersebut,” katanya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata demikian selepas diminta menceritakan detik-detik cemas ketika terbabit dalam usaha membantu mangsa kemalangan di Kilometer 5 Jalan Kuala Gula, Simpang Empat Semanggol, Ahad lalu.
Selain itu, Zambry turut memuji kecekapan anggota penyelamat yang tiba di lokasi kejadian dalam masa yang singkat.
“Kerjasama yang ditunjukkan orang ramai yang sanggup membantu anggota penyelamat untuk menyelamatkan mangsa kemalangan harus dicontohi semua pihak.
“Saya sendiri turut melalui saat cemas dan mendebarkan ketika cuba membantu mangsa pada ketika itu,” katanya yang sempat membantu salah seorang mangsa kemalangan mengucap dua kalimah syahadah di lokasi kejadian.
Dalam kemalangan yang berlaku Ahad lalu, Saidon Riduan, 65, bersama isterinya, Fatimah Abdul Kadir, 64, maut selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi pacuan empat roda yang lain yang dinaiki empat sekeluarga.
Pemandu sebuah lagi pacuan empat roda, Tan Eng Choo@Tan Ah Ba, 70, disahkan meninggal dunia pada malam yang sama selepas menerima rawatan di Hospital Taiping.
Dalam pada itu, Zambry berkata beliau membantu mangsa atas nama keprihatinan dan tanggungjawab.
“Pada masa itu, saya tidak berfikir panjang dan terus beri pertolongan kepada mangsa namun sedih kerana dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut di hospital.
#“Lebih menyayat hati dua kanak-kanak yang turut menjadi mangsa kemalangan itu menangis kesakitan tetapi saya cuba menenangkan mereka dan memberitahu ada pihak yang akan membantu mereka,” katanya yang masih terkejut dengan insiden tersebut.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment