Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Redah api selamat cucu

ALOR SETAR: “Biarpun api marak, saya nekad masuk ke dalam bilik untuk menyelamatkan cucu berusia 10 bulan, selain turut mengarahkan ibu dan ibu saudara yang berada di dalam rumah agar menyelamatkan diri.”

Begitu kata suri rumah, Azizah Bee Abdul Kadir, 55, yang cedera di kaki kanan akibat terkena serpihan kayu apabila meredah api dalam kebakaran di Kampung Padang Gunung, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Azizah Bee nekad menyelamatkan cucunya, Aleya Alias yang sedang nyenyak tidur dalam buaian serta ibunya, Mariam Chin, 75, termasuk ibu saudaranya dikenali sebagai, Yah Chin, 71, yang berada di ruang tamu.

Azizah berkata, dia terkejut apabila diberitahu menantunya, Norhayati Osman, 27, rumah mereka terbakar dipercayai litar pintas di dalam bilik tidurnya.


Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang memandikan seorang cucu lelaki, Mohd Syafiq Ikwan berusia empat tahun di belakang rumah, tetapi tiba-tiba Norhayati yang berada di ruang tamu menjerit supaya menyelamatkan diri kerana api mulai marak.


“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya teringatkan cucu paling kecil berusia 10 bulan sedang tidur dalam buaian di dalam bilik, manakala ibu dan ibu saudara saya yang kurang sihat pula di ruang tamu.

“Saya redah api yang sedang marak untuk menyelamatkan cucu, dan rasa bersyukur kerana Norhayati sempat mengambil anaknya dalam buaian dan berlari keluar rumah,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun tinggal sehelai sepinggang kerana keseluruhan rumah kayu musnah dalam kebakaran itu.

“Mujur saya terdengar jeritan menantu supaya keluar kerana api marak dengan cepat. Saya tidak dapat bayangkan apa akan berlaku jika kami semua masih berada di dalam rumah.


“Kami kerugian puluhan ribu ringgit akibat kebakaran itu dan kini tinggal sehelai sepinggang, namun saya tetap bersyukur kerana semuanya selamat.


“Saya kini terpaksa menumpang teduh di rumah menantu buat sementara waktu sehingga rumah dibaiki semula,” katanya.


Katanya, Norhayati yang luka di bahagian kaki dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana melecur untuk menyelamatkan bayinya itu.


Sementara itu, Timbalan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.24 pagi dan bergegas ke tempat kejadian selepas itu.


“Api berjaya dikawal dalam masa lima minit dengan bantuan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Jalan Raja, di sini,” katanya.


Sumber : Mymetro

No comments: