Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Ustaz diarah bela diri sebabkan kematian murid

ALOR SETAR: Seorang ustaz berusia 28 tahun diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, terhadap tuduhan menyebabkan kematian muridnya di Kampung Jejawi Dalam, Arau, Perlis, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, memutuskan demikian terhadap tertuduh, Hanif Muhammad Ali (gambar), selepas selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Saiful Syazani Saiful Sophidee berusia tujuh tahun dalam kejadian di Asrama Sekolah Rendah Islam Al Furqan antara jam 6 petang hingga tengah malam pada 31 Mac 2011.

Mohd Zaki berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


“Namun, berdasarkan kenyataan daripada saksi, mahkamah berpuas hati tertuduh mengakibatkan kecederaan kepada mangsa yang membawa kepada kematian kanak-kanak itu.


“Kenyataan itu sudah membuktikan bahawa pihak pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama iaitu mengakibatkan kematian, tetapi tidak terjumlah kepada membunuh,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan terhadap mangsa menunjukkan Saiful Syazani meninggal dunia akibat kekurangan oksigen ke otak berikutan tekanan di bahagian leher.


Prosiding itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili Ariff Azami Hussien, Azizul Shariman Mat Yusoff, Zulmi Sabri dan Mohd Fikri Abdul Rahman.

Hanif dijadualkan akan membela diri pagi ini.

Sumber : MyMetro

No comments: