Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Polis, MPK turunkan 14 poster ah long


CHUKAI – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menjalankan operasi menurunkan poster sendiket peminjam wang tidak berlesen atau ah long di sekitar bandar ini bagi mengekang kegiatan ceti haram yang menyebabkan berlakunya kes jenayah.

Sebanyak 14 poster berjaya diturunkan dalam operasi bersepadu selama dua jam yang yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bermula kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Operasi tertumpu di empat kawasan membabitkan Geliga Intan, Paya Berenjut, Taman Jakar Jaya dan Kampung Pengkalan Pandan di mana kebanyakan posternya digantung pada tiang lampu jalan dan tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, operasi tertumpu di sekitar Bandar Chukai kerana kawasan ini adalah kawasan panas yang menjadi tumpuan ah long untuk menampal dan mengantung poster iklan mereka.

“Kita mahu membendung perbuatan melekat mahupun menggantung iklan sebegini kerana akhirnya ia akan mendorong terjadinya kes jenayah termasuk peras ugut. Pada masa sama, kita juga memberi amaran keras kepada masyarakat agar jangan meminjam dengan ah long atau ceti haram kerana jika ada peminjam selagi itulah ah long akan berleluasa,” katanya.=

Menurutnya, perbuatan ah long yang memberi pinjaman wang tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan denda sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM100,000.

Terdahulu, sebelum operasi dijalankan taklimat diberikan kepada pegawai dan anggota yang terlibat oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Asisten Superintendan Abd Marlik Hakim Johar.

Operasi yang membabitkan seramai lima anggota polis dan empat anggota MPK itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, Inspektor Azharuddin Amin Musakir dan Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPK, Nor Hayati Abdul Rahman.

Menurut Nor Hayati, operasi menurunkan poster ini telahpun dijalankan MPK sejak tiga minggu lalu. Katanya, pemasangan iklan tanpa permit jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM250.

sumber : sinarharian

No comments: