Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Kerajaan nafi pelaburan Felda Global 'tak pernah untung'


KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan hari ini menyangkal dakwaan bahawa Felda Global Venture Berhad (FGVH) tidak pernah mencatatkan keuntungan melalui pelaburannya di luar negara.

Katanya nilai keuntungan luar negara FGVH yang diumumkannya pada sesi Dewan Rakyat pada Selasa minggu lepas, iaitu keuntungan sebelum cukai RM203 juta pada 2009 dan RM366 juta pada 2010 telah difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan boleh diakses oleh orang awam.

"Malahan, untuk 2011, ianya sedang diaudit dan akan selesai pada hujung bulan ini, tetapi kami amat yakin angkanya juga menguntungkan. Saya tak tahu nak katakan berapa tapi besar angkanya," katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pas dari Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencabar Ahmad Maslan untuk membuktikan kenyataannya secara bertulis dalam masa tiga hari mengenai keuntungan pelaburan asing FGVH yang telah diumumkannya sebelum ini dan mendakwa mempunyai dokumen terperinci mengenai kerugian yang dicatat oleh anak syarikat Felda itu.

Ahmad Maslan berkata, FGVH yang melabur di 12 buah negara mempunyai 23 anak syarikat dan keuntungan pelaburan asing syarikat itu yang diumumkannya adalah keuntungan secara kumpulan.

"Biasalah dalam perniagaan ada syarikat untung dan rugi tetapi yang penting keuntungan dalam kumpulan di mana-mana juga dalam sistem perakaunan. Yang penting sekali apa yang saya bagi RM203 juta dan RM366 juta adalah betul," katanya. - Bernama

No comments: