Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Petani dakwa dibelasah


TRONOH – Seorang petani membuat laporan polis mendakwa dipukul hingga cedera dipercayai oleh individu yang tidak berpuas hati dengan kebun buahnya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 petang itu, Lee Kong Soon, 56, dikatakan mengalami lebam-lebam akibat dipukul di bahagian kepala, tangan dan pipi kiri.

Akibat tidak berpuas hati, Kong Soon kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini, semalam.

Beliau mendakwa pergi ke kebun miliknya selepas pekerjanya mendapati 40 pokok jambu yang sedang berbuah telah dimusnahkan, sedangkan sehari sebelum kejadian, pokok buah-buahannya masih kelihatan elok.

Menurutnya, setibanya di kebun, beliau cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak yang didakwanya menjadi punca kepada itu, bagaimanapun dia mendakwa diserang pihak terbabit.

“Belum pun dapat penjelasan daripada mereka, saya diserang dan dipukul bertalu-talu di bahagian kepala dan tangan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan keluhan enam petani di kawasan berkenan yang mendakwa dihalau dari kebun mereka dan kemungkinan hilang mata pencarian setelah mengusahakan tanaman di tanah seluas 32 ekar sejak 15 tahun lalu.

Kong Soon berkata, beliau turut membuat laporan polis di Balai Polis Tronoh pada 19 Januari lalu apabila mendakwa menerima panggilan dan ugutan.

“Saya menerima panggilan daripada individu tersebut lebih 10 kali dalam sehari yang mahukan saya keluar dari kawasan itu malah turut mengugut mahu merobohkan kebun dan apa jua yang saya usahakan selama ini. Kami sekeluarga mengalami tekanan emosi dan nyata mereka cuba menakut-nakutkan saya supaya saya keluar dari kawasan itu pada kadar segera. Panggilan telefon berbaur ugutan terhenti sebulan apabila Adun Tronoh, V Sivakumar merujuk perkara berkenaan ke Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah namun kini mereka ganggu saya balik,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supe-rintendan Ahmad Nordin Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Kong Soon.

“Kita buka kes berkenaan mengikut akta 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: