Partime Job

Monday 19 March 2012

Persatuan: Tidak perlu jalani ujian tidur

ALOR SETAR - Saranan agar pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori menjalani ujian tidur atau 'sleep test' disifatkan sebagai tidak relevan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Sa'adan Man berkata, terdapat banyak lagi faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, bukan hanya disebabkan pemandu bas memandu dalam keadaan mengantuk.

"Memang ada kes kemalangan disebabkan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk namun kebanyakannya berpunca daripada faktor lain seperti keadaan jalan raya dan tahap keselamatan kenderaan.

"Sebagai pemandu bas, kami sedar kerana bukan hanya membawa nyawa sendiri tetapi nyawa puluhan penumpang. Sudah tentu kami akan memandu dengan lebih berhati-hati," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pemandu bas di negara ini mahu kebajikan yang lebih terjamin dan berharap agar suara mereka didengari kerajaan.

"Apabila berlaku kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, khususnya bas, pemandu disalahkan dan akhirnya memberikan imej negatif kepada masyarakat, sedangkan tiada siapa yang sudi mendengar rintihan kami," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, membayangkan kemungkinan pemandu kenderaan perdagangan menjalani ujian tidur sebagai sebahagian daripada ujian kesihatan ke arah memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, melalui ujian itu, masalah penyakit tidur yang dihadapi pemandu kenderaan perdagangan dapat dikenalpasti di peringkat awal seterusnya dapat mengelak berlakunya kemalangan ketika memandu.

Cadangan itu diutarakan selepas satu kajian yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan bahawa 30 peratus daripada 300 pemandu bas yang diuji, didapati mengalami masalah sukar tidur malam dan ia menimbulkan kebimbangan berhubung tahap keselamatan pemanduan mereka.

sumber : sinarharian

No comments: