Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Penjara, sebat jual gajet tak wujud

PETALING JAYA: Seorang jurujual dipenjara 36 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menipu penjualan gajet tidak wujud membabitkan kerugian RM3,500 di sebuah kelab malam, dekat sini, September tahun lalu.

Majistret Mohd Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Choo Tuck Fatt, 32, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.


Mengikut kertas pertuduhan, Choo didakwa menipu Tan Keat Huat, 27, dengan menawarkan telefon bimbit jenis Iphone dan iPad pada harga murah iaitu masing-masing berharga RM1,200 dan RM2,300 di kelab malam di Hotel Crystal Crown Sea Park, di sini, jam 10.30 malam, 2 September tahun lalu.

Percaya dengan kata-kata tertuduh, mangsa juga seorang pelayan di kelab berkenaan memasukkan wang tunai RM3,500 ke dalam akaun milik tertuduh.


Bagi kesalahan itu, Choo didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat urusan jual beli barangan dengan tertuduh ketika sedang bekerja, di mana sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas kali terakhir memasukkan baki wang bernilai RM300 ke dalam akaun tertuduh, mangsa tidak menerima barangan yang dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan polis.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah memohon hukuman berat dikenakan disebabkan ia adalah kesalahan kali keenam dan sebelum ini tertuduh mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan sama.


“Saya memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas penipuan dilakukan tertuduh sebagai pengajaran supaya kesalahan ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.


sumber : mymetro

No comments: