Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Peniaga sate didakwa ugut guna sabit

PETALING JAYA: Seorang peniaga sate dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dua pertuduhan menceroboh dan mengugut seorang warga emas dengan menunjukkan sabit kepada mangsa di sebuah rumah di Jalan Utama Kubu Gajah, dekat sini, pertengahan Mac lalu.

Tertuduh, Mohammad Miqdam Mohd Kamal Jalani, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menceroboh rumah milik mangsa, Abd Latip Mahadi, 66, di No 1347A, Jalan Utama Kubu Gajah, Petaling Jaya, di sini, jam 10.30 malam, 13 Mac lalu.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Miqdam didakwa menunjukkan sabit kepada mangsa sama di tempat, waktu dan tarikh sama.


Berdasarkan kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh Datuk Suraj Singh memohon wang jaminan dikurangkan kerana kejadian yang berlaku adalah salah faham.


“Penjamin yang hadir untuk menjamin tertuduh hanya membawa RM800 saja, lagipun masalah ini berlaku akibat salah faham dan saya dikhabarkan pengadu akan menarik balik kes ini. Justeru saya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kepada tertuduh,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin menawarkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Majistret Ahmad Solihin kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes supaya disebut semula 17 Mei depan.


sumber : mymetro

No comments: