Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Lelaki bunuh nenek saudara dijel 19 tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang tergamak membunuh dengan kejam nenek saudaranya kira-kira tiga tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nassir Abdul Manan, 45, selepas dia yang juga bekas komando mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Muda Mat Zin yang ketika itu berusia 80 tahun.


Mohd Yazid dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan hujah pendakwaan.

Katanya, tindakan tertuduh yang ketika itu dipengaruhi dadah menyebabkan kehilangan satu nyawa yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan tertuduh sendiri.


Mengikut pertuduhan, Mohd Nassir didakwa menyebabkan kematian Muda di sebuah rumah di Jalan Baru, Kampung Bukit Pak Sabah, Dungun, antara jam 9 pagi dan 7.30 malam 12 Oktober 2009.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Mengikut fakta kes, mangsa ditemui mati dalam bilik di rumahnya dalam keadaan menyayat hati dipercayai dipukul menggunakan tukul yang disembunyikan berhampiran rak baju dalam bilik berkenaan manakala kepalanya terendam dalam besen dipenuhi air.


Mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan ditemui anak keempatnya, Rokiah Ali, 56, yang tinggal di rumah bersebelahan menghantar makanan untuk wanita itu pada jam 6.30 petang.

Hasil bedah siasat mendapati sembilan luka pada kulit kepala bahagian atas, lebam pada leher sebelah kanan dan kiri selain terdapat air dalam saluran pernafasan, mangsa.


Selain itu, terdapat 12 luka torehan pada pinggang kanan dengan lima dilakukan sebelum mangsa mati manakala selebihnya selepas mangsa meninggal dunia.


Tertuduh ditahan pada 13 Oktober 2009 dan mengaku membuang pisau digunakan mencederakan mangsa ke dalam longkang berhampiran Sekolah Menengah Sultan Omar, Dungun manakala barangan kemas mangsa yang dilaporkan hilang ditemui di rumah tertuduh.

sumber : mymetro

No comments: