Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Pengsan makan jambu

KUCHING: Seorang pelajar hanya mampu meraung apabila melihat wajah adiknya berusia enam tahun bertukar kebiruan selepas tercekik jambu batu dipotong sebesar syiling 50 sen di Kampung Sitang, Jalan Puncak Borneo, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Ferentino Mijas, 6, bagaimanapun bernasib baik apabila jambu berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik keluarga dimaklumkan mengenai kejadian, kira-kira jam 11 pagi.
Ibu mangsa, Lily Badek, 41, berkata, ketika kejadian Ferentino bersama abangnya berusia 15 tahun berada di rumah, manakala dia ke sebuah klinik kesihatan untuk melawat menantu yang melahirkan anak sulung, sebelum dikejutkan dengan panggilan kecemasan mengenai insiden itu.

Menurutnya, dia segera pulang ke rumah sebelum meminta ahli keluarganya membawa Ferentino ke sebuah klinik berhampiran rumah dengan segera.


“Apabila melihat keadaan anak yang agak kritikal dan wajah bertukar kebiruan, kakitangan klinik berkenaan kemudian segera menghubungi ambulans sebelum dihantar HUS.


“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku dan hanya dimaklumkan seorang anak yang melihat Ferentino tiba-tiba pengsan ketika menonton televisyen sebelum wajah bertukar kebiruan.

“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawanya walaupun cemas seketika apabila memikirkan nasib bakal menimpa anak keenam daripada lapan beradik ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, tindakan pantas pasukan perubatan berjaya mengeluarkan jambu berkenaan dan anaknya kini ditempatkan di wad kanak-kanak.

Lily mengakui sukar membayangkan keadaan jika keluarga lewat menghantar anaknya itu ke hospital yang kemudian bertindak pantas mengeluarkan jambu batu yang tercekik, tanpa perlu menjalani pembedahan.

“Keadaan anak saya semakin pulih walaupun kebingungan dan sudah boleh menjamah makanan seperti biasa dan mungkin akan dibenarkan keluar dari wad dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber : MyMetro

No comments: