Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Hidup susah, mati susah

KUALA LUMPUR: “Susuk, kecantikannya hanya sementara, tetapi akibatnya diri sengsara. Sebelum mati dah (sudah) sengsara, apatah lagi selepas mati,” kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abd Malek.

Hanafi berkata, mahu kelihatan cantik, kuat, kaya dan dihormati menyebabkan masyarakat terjebak untuk ‘memakai’ susuk, meskipun sedar amalan berkenaan dilarang Islam kerana mensyirikkan Allah dan khurafat.


“Memang tidak dinafikan, rakyat kita (Malaysia) dan Indonesia antara paling ramai menggunakan susuk dan harga dikenakan untuk mendapatkan khidmat susuk tinggi. Sebab utama nak cantik, sebagai pelaris (kaya), penunduk dan kuat.

“Hukum memakai susuk tetap haram dan berdosa kerana mempercayai ia boleh menjadikan seseorang itu (pemakai) kelihatan cantik, kuat, gagah, selain percaya ada pihak ketiga (jin) yang boleh menjadikannya hebat, selain Allah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai tindakan seorang wanita nekad membuang susuk dipakainya lebih 20 tahun selepas melihat rakan karib mati dalam keadaan negeri, wajah berubah hodoh dengan kulit seolah-olah hangus.


Wanita berusia 48 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati berkata, kematian sahabatnya menginsafkannya menyebabkan dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana tidak sanggup mengalami nasib serupa.

Mendedahkan mengenainya, wanita berkenaan mengakui bukan senang untuknya membuang pelbagai susuk yang lebih 20 tahun tertanam di beberapa anggota tubuhnya kerana prosesnya amat menyeksakan, selain terpaksa berendam selama seminggu dalam kubang kerbau.


Dengan hanya membayar RM25,000 kepada bomoh untuk memasang susuk pada wajah, buah dada dan kemaluan, pemakai ‘Susuk Emas 10’ perlu memenuhi syarat tertentu termasuk terpaksa mandi bunga setiap dua minggu sekali.

Hanafi berkata, pemakai susuk berdepan situasi paling menyeksakan kerana bukan saja terpaksa melalui pelbagai prosedur menyakitkan (ketika memasukkan susuk), tetapi perlu mematuhi proses pantang-larang. “Pantang-larang bergantung kepada pengamal. Ada yang tidak boleh melangkah telur, tidak boleh terkena air hujan yang jatuh dari atap rumbia dan sebagainya. Biasanya lebih dari seekor jin dimasukkan untuk mendapatkan kesan terbaik.


“Bila pantang-larang dilanggar, mulalah pelbagai situasi pelik dilalui kerana menggunakan khidmat jin. Sebab itu pemakainya akan merasa sakit bila langgar pantang-larang dan ketika nak meninggal dunia pun mati dalam keadaan teruk dan mengerikan,” katanya.


Katanya, jin yang digunakan untuk menyerap ke dalam tubuh sebagai ‘pendinding diri’ akan mengganggu hidup pengamalnya sekiranya tidak melayan kehendak serta amalan pelik diperturunkan sejak sekian lama.


Sumber : Mymetro

No comments: