Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 6 March 2012

Angkara gengster cilik

SEREMBAN: “Saya sebak melihat anak terlantar kesakitan dan sering meracau selepas dibelasah beberapa murid,” kata Suzianawati Mohamad, 33, yang anaknya Fakhqrul Hakimi Mohd Kamarulzaman, 7, cedera serta lebam seluruh badan dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Sikamat di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 7.30 malam selepas Suzianawati mengambil anak sulungnya itu dari sebuah asrama anak yatim di daerah ini.


“Saya terkejut melihat muka, perut, lengan dan belakang badannya dipenuhi lebam dan bengkak teruk.

“Apabila ditanya, dia memberitahu dipukul tiga murid sekolah sama yang meminta wang, malah berulang kali memberitahu dipukul dengan kayu,” katanya.


Suzianawati mendakwa selepas kejadian itu, anaknya menjadi pendiam seolah-olah trauma dengan kejadian menimpa.


“Apa salah anak saya sehingga dia dipukul sebegini. Saya tidak dapat bayangkan ketika kejadian mungkin dia meraung meminta tolong, namun tiada siapa mendengarnya.

“Saya mahukan keadilan dan berharap pihak berkenaan melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini,” kata ibu kepada tiga anak itu.


Dakwanya, dia meminta penjelasan sekolah berhubung kejadian, tetapi guru besar memaklumkan anaknya berkemungkinan dipukul ketika berada di asrama.

“Berulang kali saya menanyakan perkara itu, namun Hakimi (mangsa) menafikan ia berlaku di asrama anak yatim, tetapi dipukul di sekolah.


“Saya bukan mahu menghukum mereka membuta-tuli, tetapi meminta penjelasan apa yang berlaku,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sikamat pada hari yang sama.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan sedang dilakukan.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan berjanji akan menyiasat dakwaan ibu mangsa.

Sumber : MyMetro

No comments: