Partime Job

Tuesday 6 March 2012

5 mangsa atas jalan

BENTONG: Anggota bomba dan penyelamat yang paling awal tiba di tempat kejadian bas pelancong terbalik di Kilometer 4.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, mendapati lima mangsa bergelimpangan di luar bas manakala selebihnya masih berada dalam bas yang remuk.

Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Syamsuri Kadir, 33, berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lima mangsa bergelimpangan di atas jalan sebelum diberi rawatan awal.


“Sejurus menyelamat mangsa itu, saya memasuki badan bas untuk mengeluarkan mangsa lain yang terselamat. “Saya dapati seorang mangsa masih hidup, tetapi tidak dapat keluar kerana kepalanya tersepit antara kusyen kerusi dengan dinding bas,” kata.

Menurutnya, dia memeriksa mangsa kerana keadaannya terlentang dengan kedudukannya seperti melekat pada dinding bas.


“Mangsa tidak boleh bercakap dan hanya kedengaran bunyi nafasnya dalam keadaan cemas. Saya dan rakan berhati-hati memotong bingkai tingkap bagi melepaskannya yang tersepit.


“Keadaan mangsa sangat lemah, tetapi masih memberi tindak balas. Kami terpaksa lebih berhati-hati mengeluarkan mangsa kerana ruangan sempit selain banyak kaca bertaburan,” katanya.

Katanya, dia meneruskan usaha mengeluarkan mangsa lain dan menemui seorang wanita memakai sari terbaring di tengah bas.


“Kami yakin mangsa terakhir ini sudah meninggal dunia kerana tidak memberi tindak balas ketika dipanggil. “Suasana semakin menyayat hati apabila penumpang yang tercedera dan ditempatkan di bahu jalan sementara menunggu ambulans tiba merintih kesakitan dan meminta tolong,” katanya.

Syamsuri yang sudah 10 tahun berkhidmat berkata, pasukannya antara yang terawal tiba dan menjalankan operasi menyelamat mangsa kerana balainya paling hampir dengan tempat kejadian iaitu kira-kira empat kilometer.


“Sejurus tiba, saya lihat ada kira-kira lima mangsa bergelimpangan di luar bas sebelum ketua operasi membahagi-bahagikan tugasan mengeluarkan mangsa.


“Walaupun ini bukan kejadian paling ngeri saya hadapi sepanjang bertugas, namun saya tetap bersimpati dengan nasib mangsa terbabit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi dari Bomba dan Penyelamat Balai Genting, V Raganathan, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.07 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tercedera.


Menurutnya, seramai 67 anggota dan pegawai termasuk dari balai bomba Selayang, Bentong, Karak, Kuala Kubu Bharu, Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Hang Tuah dihantar ke tempat kejadian.


“Kami terpaksa menggunakan pemotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan bertindih,” katanya

Sumber : MyMetro

No comments: