Tuesday, 27 March 2012
Pengajar GiatMara maut nahas
BATU PAHAT – Niat seorang pengajar Pusat GiatMara Muar untuk menolong rakannya tidak kesampaian apabila dia maut kerana terbabit dalam kemalangan di Kilometer 137, Jalan Johor Bahru Melaka, berhampiran Kampung Parit Orang Kaya, Simpang Lima, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kereta jenis Perodua Alza dipandu Norwahidah Suratman, 32, yang dinaiki dua yang lain berhenti di tepi jalan kerana ingin membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dari arah sama yang gagal mengelak dari melanggar kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, akibat rempuhan kuat itu bas perjalanan dari Kota Bahru, Kelantan menuju ke Batu Pahat itu terhumban ke parit berhampiran manakala kereta mangsa remuk teruk di bahagian depan.
“Norwahidah yang cedera parah maut di tempat kejadian. Manakala dua yang lain iaitu pengurus pusat terbabit, Janiza Johari, 42, patah kaki dan pelajar GiatMara, Siti Nadirah Ahmad, 19, cedera ringan.
“Mereka kini dirawat di Hospital Putra, Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian.
Walaubagaimanapun katanya, pemandu bas dan lapan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Norwahidah yang berasal dari Felda Nitar, Mersing meninggalkan empat anak berusia lingkungan 10 bulan hingga enam tahun. Jenazahnya telah dibawa ke Hospital Batu Pahat dan akan dikebumikan di kampung asalnya,” katanya.
Sementara itu, suami mangsa Mohd Dzairul Anuar Che Derus, 34, berkata, isterinya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kemalangan berlaku.
Katanya, cuma satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu tidur di ruang tamu malam sebelum kejadian, di mana biasanya mangsa akan tidur di bilik bersamanya.
“Cuma malam tadi (semalam), isteri saya tidak tidur di bilik dan tidur di luar. Katanya rasa tidak selesa dan terlalu panas tidur di dalam bilik.
“Saya yang menyangkakan tidak ada apa-apa yang berlaku membiarkannya dan tidak memikirkan langsung. Itulah kali terakhir saya akan berjumpa dengannya,” katanya.
Mohd Dzairul berkata, lebih menyedihkan, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa menyuarakan hasrat kepadanya bagi mendaftarkan diri mereka berdua untuk menunaikan haji di Mekah tetapi belum berkesempatan melakukannya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment