Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 27 March 2012

Lelaki amuk dipenjara

KOTA BHARU – Angkara amuk dengan memecahkan barangan rumah serta mahu memukul adik-beradiknya hingga mati, seorang penganggur dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman terhadap Mohd Haswandi Mat Reduan, 28, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan oleh Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Lelaki yang beralamat di belakang Hospital USM Kubang Kerian itu didapati bersalah melakukan ugutan jenayah kepada bapanya sendiri, Mat Redoan Ab Kadir, 48, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mungkin mendatangkan kematian kepada mangsa.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku jam 9 malam, 18 Mac lalu di rumah keluarga berkenaan.

Bapa tertuduh yang bimbang akan keselamatan keluarganya itu kemudiannya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh sejurus kejadian. Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bersalah.

Dalam perkara berasingan, tertuduh turut dijatuhi hukuman setahun penjara selepas didapati gagal mematuhi Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sementara itu, seorang buruh, Mohamad Sabri Ab Rashid, 30, mengaku tidak bersalah mengugut mencederakan ibunya, Hanisah Seman, 52, dengan sebilah parang, 19 Mac lalu. Manakala, seorang pekerja pusat servis kereta, Mohd Shahril Ab Alim, 30, menafikan tuduhan mengugut mencederakan rakan sekerjanya menggunakan pisau pemotong kertas, 8 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkenaan. Semua pertuduhan dikendalikan Pendakwa Raya, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbah.

sumber : sinarharian

No comments: