KOTA BHARU- Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Kelantan mendapati hampir 20 peratus kes kemalangan yang berlaku di negeri ini melibatkan kenderaan yang diubah suai tanpa kebenaran.
Pengarahnya, Abd Ghani Che Kassim berkata, berdasarkan pemeriksaan jalan raya, JPJ juga mengesan ada di antara golongan muda yang mengubah suai kenderaan tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Menurutnya, keadaan sebegini akan mendedahkan pemanduan terhadap risiko kemalangan jalan raya dan boleh mengundang bahaya sehingga meragut nyawa.
“Pengubahsuaian enjin ini kebanyakan melibatkan kereta dan anak-anak muda ini gemar melakukannya untuk mendapat kelajuan yang lebih tetapi tidak menyedari ianya sangat berbahaya sekiranya tidak bersesuaian dengan kenderaan terlibat. Kebanyakan ketika ditahan semasa pemeriksaan mereka ini memberi alasan tidak tahu ianya menjadi kesalahan dan perkara ini perlu dipandang serius,” katanya ketika ditemui semalam sempena taklimat Automotif Roadshow 2012.
Menyedari keadaan tersebut, JPJ mengambil inisiatif turun padang menggempur kumpulan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPT Swasta di negeri ini untuk menyalurkan maklumat bagi membendung keadaan terbabit menerusi program Automotif Roadshow 2012.
Abd Ghani berkata, program tersebut yang dijangkakan bermula pada April ini adalah bertujuan untuk memastikan kadar kesedaran berhubung aspek keselamatan kenderaan dapat dipertingkatkan.
“Ia juga sangat penting untuk dijayakan bagi mengurangkan kesalahan terhadap sesuatu kenderaan dari segi teknikal yang melibatkan penuntut IPTA dan IPTS.
“Kita berharap program ini mampu mengubah minda pengguna supaya tidak melakukan ubah suai kenderaan dan mengikuti Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
sumber : sinarharian
No comments:
Post a Comment