Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Negara silam dan yang terkini

Menyingkap sejarah silam, kita melihat kerajaan Islam Abbasid pada kurun ke-10 sebagai sinonim dengan zaman kegemilangan dunia Islam dan dilihat sebagai empayar Dunia Pertama. Kemajuan ilmu sains, falsafah dan pemerintahan kerajaan Abbasid mendahului kerajaan-kerajaan lain, termasuklah dunia Barat yang ketika itu diselubungi Zaman Gelap (Dark Ages).

Dunia Islam berjaya melahirkan beberapa institusi perintis. Dari bidang urus tadbir kenegaraan seperti majlis syura, sehinggalah bidang ekonomi, pendidikan dan undang-undang.

Selepas Baghdad ditawan tentera Mongol pada kurun ke-13, dunia Islam dalam bentuk empayar besar berpecah kepada daulah-daulah kecil dan terpisah seperti di Andalusia sementara status empayar Dunia Pertama semakin terhakis, menyaksikan keruduman banyak negara Islam, termasuk Malaysia yang tidak terkecuali mempamerkan ciri-ciri Negara Dunia Ketiga.

Zaman berubah menyaksikan giliran Barat membangun hasil sinambungan budaya ilmu dan rangka institusi dunia Islam yang terus dikembangkan dari zaman kebangkitan sehingga lahirnya zaman perindustrian di Britain - disusuli pencorakan falsafah politik hasil pertembungan demokrasi dan komunisme - yang kini memperlihatkan Barat sebagai Negara Dunia Pertama.

Perjalanan sejarah dilakar dengan penjajahan dunia Barat menerusi kolonialisme dan dua Perang Dunia. Sementara bekas-bekas penjajah yang mungkin masih belum menebus kesalahan lampau, namun terus bergerak ke hadapan dengan memperbaiki ciri-ciri Negara Dunia Pertama, malangnya bekas jajahan mereka walau meraih kemerdekaan, ada yang ‘menjajah’ terus rakyat sendiri. ‘Jajahan’ diteruskan dengan amalan politik pecah-belah berteraskan perkauman, sistem perundangan drakonian dan penjarahan ekonomi golongan elit - mirip budaya dan tingkah laku penjajah sebelumnya. Budaya penjajahan kekal, yang hanya berubah, penukaran bendera. Inilah suasana hambar Negara Dunia Ketiga sekarang.

Kita harus menilai perbezaan Dunia Pertama dan Ketiga dari segi budaya politik, institusi kenegaraan dan prestasi ekonomi dalam memastikan Malaysia, tidak kekal sebagai Negara Dunia Ketiga, lebih-lebih lagi bila mekarnya gerakan reformasi dan percambahan demokrasi di dunia Islam dengan pergerakan ‘Arab Spring’.

Budaya politik Dunia Pertama kurun ke-21 bertunjangkan kuasa untuk dan demi rakyat. Bukannya kuasa untuk ataupun demi harta. Dunia Pertama sekarang bercirikan demokrasi rakyat yang berteraskan kebebasan berfikir, kebenaran ilmu dan keadilan sosial berbanding Dunia Ketiga bercirikan oligarki feudal yang memenjarakan pemikiran dengan ideologi sempit lagi batil - menyekat kebenaran ilmu melalui kawalan media serta penggunaan propaganda hitam - dan abaikan keadilan sosial demi mengangkat kapitalisme kroni.

Perbezaan utama budaya politik Dunia Pertama dan Ketiga adalah sikap kepimpinan Dunia Pertama; apabila berlaku kesilapan atau kegagalan menjalankan tugas dan tanggungjawab akan disusuli peletakan jawatan, termasuk penghadapan ke muka pengadilan. Malangnya pemimpin-pemimpin yang ada konflik kepentingan masih lagi berleluasa di dalam pentadbiran negara kita, malah dilindungi dan disanjung.

Institusi-institusi di Negara Dunia Pertama berkhidmat demi kebaikan dan kebajikan rakyat, sebaliknya, institusi Negara Dunia Ketiga walaupun mewarisi rangka institusi bekas penjajah seperti - institusi Parlimen, pilihan raya, kehakiman dan kerajaan - telah dipinda bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi untuk golongan elitis yang berkuasa.

Proses pilihan raya jika dibandingkan dengan Negara Dunia Pertama, masih jauh ketinggalan dari segi keadilan dan ketelusan. Contohnya, meskipun pemilihan Presiden Amerika Syarikat masih di peringkat awal, sentiasa ada laporan tentang perdebatan yang sihat mengenai dasar-dasar hala tuju negara di antara calon-calon yang bertanding. Seterusnya proses pilihan raya yang masih ‘dijajah’ budaya Dunia Ketiga Ini masih memperlihatkan percanggahan dalam senarai daftar pengundi, waktu berkempen dihadkan, tiada akses sama rata di media, peluang rakyat di luar negara tiada untuk undi dan penggunaan jentera serta dana kerajaan untuk berkempen.

Prestasi ekonomi pula menyaksikan kegagalan untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana dan kemajuan ekonomi yang terencat akibat rasuah, ketirisan dan kecacatan dasar-dasar ekonomi.

Laporan Transparency International pada 2011 dalam Corruption Practices Index 2011 menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-60 dari 182 negara. Laporan yang sama pada 2010, menempatkan Malaysia di kedudukan ke-56.

Projek-projek seperti PKFZ dan NFC hanya sebahagian daripada senarai yang semakin memanjang perihal ketirisan dan penjarahan ekonomi negara; dianggarkan mencecah RM1 trilion apabila disertakan kadar hutang negara dan awam sebanyak 133 peratus KDNK; seolah-olah menjamin ‘kiamatnya ekonomi negara.

Pendek kata Malaysia berpotensi menjadi negara Islam perintis bertaraf Dunia Pertama zaman ini seandainya kepimpinan bersedia memikul tanggungjawab moral dan menjiwai keimanan untuk berubah - seperti mana dunia Barat keluar dari zaman kelam dengan menerapkan sumbangan dunia Islam.

sumber : sinarharian

No comments: