Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Impian jadi realiti




Nama Farhan Azizan atau Farhan, 27, mungkin kurang menyerlah, namun jangan dipandang sebelah mata bakat dimilikinya.

Berdasarkan kemampuan penyanyi dicungkil daripada program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) ini, membolehkannya terpilih menjayakan persembahan pembukaan konsert Olivia Newton-John, di Arena of Stars, Genting Highland, 29 Mac ini.

Mengakui sangat meminati penyanyi legenda kelahiran United Kingdom itu, peluang yang diterima daripada penganjur Offshore Entertainment Production Sdn Bhd tidak dilepaskan begitu sahaja oleh Farhan.

Menurutnya, dia didedahkan lagu Olivia sejak kecil lagi.

“Ibu bapa saya peminat setia Olivia dan ia juga mempengaruhi minat saya.

“Malah, saya sering menyanyikan lagu Olivia sejak di bangku sekolah dan ketika membuat persembahan di lobi hotel sebelum menyertai AF4,” katanya.

Sering menjadikan pemenang Anugerah Grammy itu sebagai rujukannya dalam membentuk personaliti sebagai penyanyi, kata Farhan, dia tidak sabar bertemu idolanya dan berkongsi pentas yang sama.

“Sehingga kini saya masih tidak percaya mendapat peluang ini dan berdebar menanti hari tersebut tiba.

“Kemungkinan besar saya nyanyikan lagu daripada Whitney Houston, Natalie Cole, Gary Moore dan sebuah lagu Melayu nyanyian asal Datuk Sheila Majid,” katanya yang mengenali muzik pop dan country melalui lagu Olivia.


Tunang sokong karier

Beralih ke perkembangan terkininya, Farhan yang popular dengan lagu Aku Sahaja Yang Tahu dan Kembali ini terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan album baru.

“Jadual saya padat selain mempunyai beberapa komitmen lain. Sebab itulah, proses menghasilkan album baru memakan masa,” katanya yang pernah muncul dengan album berjudul Farhan.

Baru saja mengikat tali pertunangan 12 Februari lalu, Farhan beruntung kerana tunangnya, Ahmad Rashdan Suhaimi, 27, begitu menyokong perjalanan karier seninya.

“Tunang saya penyokong kuat saya, begitu juga dengan keluarganya.

sumber : sinarharian

No comments: