Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 26 March 2012

Pegawai kanan polis dicekup SPRM

KUANTAN - Seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, kelmarin.

Pegawai berpangkat Deputi Superintendan berusia 52 tahun dari Cawangan Siasatan Jenayah itu ditahan SPRM Jumaat lalu untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM5,000.

Difahamkan, pegawai terbabit ditahan sepasukan pegawai SPRM Cawangan Raub di sebuah restoran di Mentakab kira-kira jam 5 petang, 23 Mac lalu.

Pegawai berkenaan ditahan selepas SPRM menerima aduan daripada seorang pengusaha kedai gunting mendakwa lelaki itu meminta wang sogokan RM2,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani ketika ditemui mengesahkan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pegawai terbabit kini diarahkan bercuti sementara sehingga siasatan ke atasnya selesai.

“Kita akan menjalankan siasatan dalaman terhadap kes ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai terbabit,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perhimpunan sempena Hari Polis Ke-205 peringkat Kontinjen Pahang, di sini, semalam.

Sharifuddin berkata, pihaknya menunggu hasil siasatan SPRM berhubung kes itu bagi mengenal pasti sama ada pegawai terbabit terlibat atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, Sharifuddin berkata, pengamal media di negeri ini diminta lebih bertanggungjawab terhadap berita yang ditulis kerana penulisan berita yang bersumberkan fakta tidak tepat boleh menjejaskan siasatan polis berhubung kes atau isu yang berlaku.

sumber : sinarharian

No comments: