Partime Job

Monday 26 March 2012

3.3 juta peluang kerja baru menjelang 2020

KOTA BHARU- Sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan baru yang bakal diwujudkan menjelang tahun 2020 selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, sekarang ini, negara mempunyai 12 juta pekerja dengan dua juta daripadanya dimonopoli pekerja asing dan 10 juta pekerja tempatan.

“Ini jumlah besar yang bakal memberi peluang kepada rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan kerana Perdana Menteri bukan sahaja mahu menjadikan negara ini sebagai negara maju seperti termaktub dalam Wawasan 2020 berteraskan Sains dan Teknologi,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Rehab Centre di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), di sini.

KIST Rehab Centre berlokasi di tingkat tiga, bangunan KTC, beroperasi sejak tiga bulan lalu menjadi tempat kecergasan, pemulihan dan rehabilitasi dengan kos binaan RM1 juta, selain membuka peluang kepada orang ramai menggunakan perkhidmatannya.

Maznah berkata, penggandaan berkenaan tidak semudah yang difikirkan, bukan sekadar mengarahkan majikan untuk memberi gaji tinggi, tetapi ia perlu seiring dengan kemampuan, tahap kemahiran, produktif, daya saing dan maklumat tinggi.

“KIST antara jentera atau salah satu ‘tangan yang banyak’, yang turut membantu kerajaan dalam bidang kesihatan, kesukanan dan rekreasi. Apabila kualiti hidup rakyat meningkat, maka perubahan kesihatan mereka turut meningkat. Memandangkan tenaga kerja kita agak kecil pada masa ini, pelaksanaan transformasi dilancarkan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: