Partime Job

Monday 26 March 2012

Bina pusat kebudayaan Islam di setiap negeri

KUANTAN - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) meminta kerjasama kerajaan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di setiap negeri untuk aktiviti kebudayaan mereka.

Pusat kebudayaan itu juga boleh dilawati masyarakat bukan Islam sebagai bukti agama itu universal dan tidak pernah menghalang budaya serta adat resam kaum Tionghoa selepas memeluk Islam.

Presidennya, Datuk Dr Mustapha Ma berkata, sehingga kini persatuan itu mempunyai pusat kebudayaan Islam di Kelantan dan masjid yang bercirikan seni bina masyarakat Cina di Perak.

“Selain itu, satu majlis pecah tanah akan diadakan di Melaka April depan untuk pembinaan sebuah pusat kebudayaan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Macma Kebangsaan Ke-18, di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, Kerajaan Negeri akan mendapatkan tapak untuk pembinaan masjid bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti dilaksanakan pada masa depan.

Beliau turut mencadangkan masjid yang bakal dibina itu dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran dan ruang rehat untuk memudahkan ahli dari seluruh negara berkumpul di negeri ini.

“Dalam fikiran saya mungkin boleh gunakan kuarters kerajaan atau mendapatkan tanah yang sesuai dan harga munasabah untuk pembinaan masjid ini,” katanya ketika berucap pada majlis sama.

Adnan berkata, beliau meluluskan geran masing-masing sebanyak RM30,000 untuk Macma Malaysia dan Macma Pahang.

Dalam ucapannya juga, Adnan meminta semua saudara baru supaya terus mengeratkan hubungan de-ngan keluarga walaupun berlainan agama.

“Kita hanya berlainan agama ­tetapi hubungan kekeluargaan tidak putus, sebaliknya yang berbeza hanya amalan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: