Partime Job

Sunday, 11 March 2012

Nenek nyaris maut

LENGGONG: Seorang nenek berusia 112 tahun antara 20 penduduk Kampung Sumpitan yang nyaris menjadi korban banjir kerana terlalu leka menyiapkan majlis kenduri kahwin di sebuah rumah di Kampung Sumpitan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mereka dipercayai enggan keluar menyelamatkan diri bersama 30 penduduk yang sudah meninggalkan rumah kerana tidak menduga air naik dengan cepat sehingga menyebabkan banjir.


Nenek berkenaan, Fatimah Abdul Rahim yang sangat uzur, dikatakan turut berada di rumah ibu tunggal, Ramlah Ismail, 57, bagi membuat persiapan kenduri kahwin anaknya Nurhafsah Yusuf, 32.

Mangsa yang berada di rumah kenduri berkenaan, Rosidah Mohd Zahari, 39, berkata air naik mulai jam 9 malam dan hanya dalam masa 15 minit, air masuk ke dalam rumah sebelum terus meningkat ke paras paha dan melepasi kepala.


“Kami bergotong-royong menyiapkan kenduri perkahwinan dan cemas apabila melihat air naik sehingga paras paha, menyebabkan semua orang bersesak naik ke tingkat atas rumah itu.


“Sungai kira-kira 10 meter dari belakang rumah berkenaan menyebabkan masing-masing tidak berani keluar dari rumah untuk ke jalan raya sejauh 250 meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dia dan suami, Abu Bakar Daud, 37, kemudian nekad mengharungi air deras untuk meminta bantuan kecemasan supaya dapat menyelamatkan jiran mereka yang terperangkap di rumah itu.


“Dalam keadaan gelap saya dan suami mengharungi arus deras dengan air paras dada sehingga menyebabkan saya beberapa kali terjatuh sebelum dihanyutkan arus, namun mujur sempat diselamatkan suami.

“Sebaik tiba di kawasan tinggi di tepi jalan raya, saya bimbang kerana tiga anak berusia 12, 13 dan 14 tahun serta ibu mentua yang uzur, Rokiah Ismail, 65, masih berada di rumah itu,” katanya.


Menurutnya, mereka sempat diselamatkan selepas dibawa dengan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Lenggong, jam 1 pagi.


Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris, Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamed bersama Pegawai Daerah Gerik, Mohd Tahir Osman turut melawat mangsa banjir sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.


Shamsul Anuar berkata, penduduk yang terperangkap di majlis kenduri itu berjaya diselamatkan dan ditempatkan ke dewan orang ramai kampung berkenaan.

sumber : mymetro

No comments: