Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Masa depan anak musnah


BUKIT KAYU HITAM- “Masa depan anak saya kini hancur kerana kecacatan kekal yang dialaminya sejak ditimpa peristiwa hitam yang berlaku lima tahun lalu,” kata bapa kepada mangsa yang dipukul dengan besi pengorek tanah pada 2007.

Mangsa, Ahmad Faizlan Yusof, 21, kini hanya menghabiskan masa di rumah kerana tidak dapat berbuat apa-apa termasuk tidak bekerja memandangkan dirinya mengalami kecacatan kekal apabila menghadapi kesukaran bergerak pada sebahagian daripada anggota badan kanannya akibat kejadian itu.

Difahamkan Ahmad Faizlan mengalami kecederaan parah di kepala selepas dipukul dengan besi pengorek tanah sehingga koma di Perumahan Imigresen di sini kira-kira jam 9.30 malam pada 19 Mac 2007.

Bapanya, Yusof Nayan,51, berkata, ketika kejadian anak keduanya itu masih berada di tingkatan empat di sebuah sekolah di sini dan peristiwa yang menimpa itu menyebabkan Ahmad Faizlan koma beberapa hari dan tidak boleh bergerak serta bercakap dalam tempoh yang lama.

Menurutnya, disebabkan itu anaknya tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun berikutnya kerana mengalami masalah kurang bertindak balas selain sebahagian anggota badan kanannya yang tidak boleh bergerak dengan baik.

“Tangan kanannya tidak boleh digerakkan malah, tidak boleh menggenggam pen apatah lagi hendak menulis, jadi dia tidak dapat menduduki SPM sekali gus gelap masa depannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Satu, di sini.

Difahamkan kesan hentakan yang berlaku pada kejadian itu menyebabkan otak Ahmad Faizlan membengkak dan terpaksa menjalani dua pembedahan pada April 2008 untuk mengeluarkan darah beku dan selepas luka sembuh satu lagi pembedahan dilakukan bagi merawat tempurung kepalanya yang retak.

Sementara itu, ibunya, Masita Ramli, 43, berkata, sehingga kini anaknya itu masih mengalami kesukaran dalam memberi tindak balas yang baik sekiranya mereka berkomunikasi bersama.

Menurutnya, anaknya sering merungut mahu bekerja namun, kecacatan dirinya menghalang dia berbuat demikian.

“Ramai rakan sebayanya yang erjaya melanjutkan pengajian sebaliknya dia hanya terperuk di rumah dan menghabiskan usia mudanya begitu sahaja. Sedih juga melihat keadaan itu namun, kami juga tidak boleh berbuat apa-apa selain pernah mengupah peguam bagi mendapat pembelaan terhadap apa yang berlaku namun sehingga kini ia masih sepi. Kami sudah membayar hampir RM7,000 untuk kos peguam sejak penghujung 2007 namun terpaksa dihentikan pada Julai tahun lalu kerana tidak mampu menanggung kos terbabit,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: