Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Lapan motosikal hangus


JALAN KUALA KETIL – Lapan motosikal yang diletak dalam sebuah kedai membaiki motosikal hangus dalam kebakaran kira-kira 8.30 malam kelmarin,

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 8.36 malam dan bergegas ke lokasi kejadian seminit kemudian.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran disertai 12 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

“Ketika sampai ke lokasi, 25 peratus daripada bahagian kedai terbabit sudah terbakar namun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran supaya tidak merebak ke bangunan bersebelahan dan bahagian belakang kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosdi berkata, pihak bomba terpaksa memecahkan pintu hadapan kedai memandangkan kejadian berlaku selepas perniagaan tamat dan tiada sesiapa dilaporkan berada di dalamnya.

“Kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. Operasi memadam kebakaran turut dibantu lima jentera pasukan Bomba Sukarela.

Pemilik kedai, Goh Aik Heng, 40, berkata, dia membuka perniagaan sejak 20 tahun lalu dan ini merupakan kejadian pertama yang menimpanya.

“Habis sahaja kerja pada hari kejadian, saya mula menutup pintu kedai jam 7.15 malam dan meninggalkan kedai seperti biasa. Namun sejam kemudian dikejutkan dengan berita kebakaran,” katanya.

Menurutnya, hanya dia seorang yang bekerja sepenuh masa di kedai terbabit dan dipercayai kebakaran berlaku akibat litar pintas.

sumber : sinarharian

No comments: