Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Malaysia, Thai kerjasama jejak sindiket pelacuran

KUALA LUMPUR - Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand akan bekerjasama dengan polis negara itu bagi menjejaki sindiket pelacuran antarabangsa yang disyaki menculik rakyat negara ini dan memaksa mangsa terlibat dalam kegiatan maksiat.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain berkata pihaknya akan menjalin kerjasama bagi mengesan dalang yang melakukan penculikan terhadap rakyat Malaysia agar jenayah itu dapat dibanteras.

"Apa yang mereka lakukan ke atas warga kita yang diculik amat kejam tambahan pula mereka yang diculik masih budak dan remaja lagi, jadi kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka yang diculik daripada menjadi mangsa sindiket. Ini perbuatan yang sangat serius. Bagaimana mereka boleh membawa seorang remaja melepasi sempadan antarabangsa dan perkara ini harus kita siasat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penculikan seorang remaja perempuan yang dilapor hilang di Shah Alam dan ditemui dalam keadaan kepenatan di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok 11 Mac lepas setelah berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran antarabangsa yang menculiknya.

Remaja berusia 14 tahun, yang dilapor hilang di Seksyen 8, Shah Alam pada 30 Jan lepas, diselamatkan polis Thailand yang menemuinya bersama lima lagi mangsa rakyat Myanmar.

Nazirah yang memulakan tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Thailand sejak lapan bulan lepas, berkata pihak kedutaan sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Thailand bagi mengelak menjadi mangsa sindiket pelacuran.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata penguatkuasaan secara bersepadu terutama di sempadan negara perlu dipertingkat.

Beliau berkata bagi membendung jenayah tanpa sempadan itu, penguatkuasaan perlu dilakukan secara menyeluruh melibatkan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memantau keselamatan anak-anak mereka, dengan siapa mereka berkawan kerana mungkin anak-anak kita mudah diperdaya dengan tawaran kerja dengan gaji lumayan dan mereka tidak sedar ia merupakan perangkap untuk menjadikan mereka pelacur," katanya.

Jeevan berkata pemantauan aktiviti rakyat asing di Malaysia juga perlu dilakukan kerana mungkin ada yang datang ke Malaysia bukan sebagai pelancong atau urusan perniagaan sebaliknya untuk melakukan jenayah. - Bernama

No comments: