Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Usaha lebih gigih pastikan RMK-10 dapat dilaksana

KUALA LUMPUR- Usaha lebih gigih perlu dilaksanakan bagi memastikan program dan projek serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dapat dilaksana seperti disasarkan bagi menyokong pertumbuhan sekurang-kurangnya lima peratus pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Ia berikutan jangkaan tahun 2012 adalah lebih mencabar terutama dengan ketidaktentuan ekonomi negara-negara Euro yang dibelenggu dengan hutang berdaulat yang tinggi manakala Amerika Syarikat masih belum pulih sepenuhnya,"
katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan UPE dan pelancaran Sistem Pemantauan Inisiatif RMK-10 (SPI-RMK-10) di Putrajaya di sini hari ini.

Oleh itu, katanya, adalah amat penting untuk menggiatkan pertumbuhan permintaan dalam negeri terutamanya penggunaan dan pelaburan swasta dan beliau yakin sasaran pelaburan swasta pada 2012 sebanyak RM113 bilion dapat dicapai.

Dalam RMK-10, rancangan pembangunan lima tahun yang akan berakhir pada 2015, sejumlah RM290 bilion diperuntukan yang amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan ke arah merealisasikan Wawasan 2020, yang berhasrat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi.

Nor Mohamed berkata kerajaan telah melaksanakan pendekatan baru, termasuk pembangunan Pelan Pelaksanaan Inisiatif RMK-10 yang bertujuan memastikan pelaksanaannya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Dengan wujudnya pelan pelaksanaan, ia memudahkan UPE untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif dengan lebih teratur dan berkesan," katanya.

Menurut beliau UPE telah berjaya membangunkan Pelan Pelaksanaan Inisiatif RMK-10 berserta dengan SPI-RMK-10 dengan menggunakan sumber dalaman tanpa melibatkan sebarang kos tambahan dan pertambahan jawatan.

"Ini menjimatkan UPE kos yang besar hampir RM3 juta sepertimana yang dicadangkan oleh pakar runding. Malah, pembangunan SPI-RMK-10 ini adalah satu proses pembelajaran secara pelaksanaan yang dapat meningkat dan menguji kepakaran pegawai-pegawai UPE," katanya.

Katanya semua kementerian dan agensi mula menggunakan SPI-RMK-10 dari pejabat masing-masing mulai 29 Feb, 2012.

SPI-RMK-10 dibangunkan oleh UPE untuk memantau pelaksanaan inisiatif di bawah RMK-10 iaitu sebagai tambahan kepada Sistem Pemantauan Projek (SPP2) yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). - Bernama

No comments: