Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 19 March 2012

Lubuk pendatang kena serbu


JEMPOL - Niat seorang penjual ­aiskrim warga Pakistan terbantut apabila dia turut ditahan dalam satu serbuan sekitar daerah Jempol dan Kuala Pilah, lewat malam kelmarin.

Operasi ‘Ops 6P’ yang dijalankan oleh Imigresen Negeri bermula jam 12 tengah malam selama dua hari bermula Jumaat lalu berjaya menahan 49 pendatang tanpa izin (Pati).

Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeram Serting Ulu untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Kem Machap, Umboo, Melaka.

Operasai yang disertai sepasukan 21 anggota dan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri, Abdul Kadir Hussin di dua lokasi berasingan iaitu Tanjung Ipoh dan Gugusan Felda Palong.


Ditahan atas pelbagai kesalahan

Pengarah Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pada serbuan pertama pihaknya menahan sembilan warga Indonesia. Menurutnya, pada petang hari sama, pihak mereka turut menahan seorang warga Pakistan yang menjual aiskrim kepada anggotanya.

“Hari kedua, operasi dijalankan di Gugusan Felda Palong dan ­seramai 25 Pati ditahan dan disoal siasat ­dalam pelbagai kesalahan. Dari jumlah itu, 20 lelaki dan tiga wanita dari Indonesia serta dua lelaki dari Pakistan ditahan,” katanya.

Faizal berkata, pihaknya menggunakan pendekatan perkhemahan di kawasan jeram berkenaan bagi mengelak operasi itu dikesan.

“Setelah diperiksa, kita dapati ­pelbagai kesalahan melalui operasi ini antaranya kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen yang sah, 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen dan 56(1)L kerana menggunakan dokumen palsu. Kesemua suspek berumur ­dalam lingkungan 20 sehingga 45 ­tahun,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, ketika serbuan diadakan di sekitar kawasan kebun dekat Felda Palong, ramai di antaranya cuba untuk meloloskan diri, namun tindakan pantas anggota Imigresen berjaya menahan ­kesemua Pati.


Niat lawat rakan bawa padah

Menceritakan kisah di sebalik operasi, taktik selamba dua warga Indonesia menunggang motosikal yang dipercayai ‘saja-saja’ melawat ­rakan-rakannya yang ditahan pihak Imigresen di Felda Palong membawa padah apabila mereka turut dicekup kerana memiliki MyKad dan sijil ke­lahiran palsu.

Setibanya di lokasi penahanan, dua lelaki terbabit mengakui warganegara tempatan sebelum bertindak mengeluarkan kad pengenalan, ­manakala rakannya menunjukkan ­sijil kelahiran. Biarpun mereka bertegas mengatakan kad berkenaan asli, namun ternyata ia palsu malah menggunakan cip pengenalan orang lain.


Tersilap jual askrim kepada penguat kuasa

Berlainan pula bagi si penjual ­aiskrim, Navid Khan Barus Khan, 24, yang datang ke Jeram Serting Ulu ­untuk menjual aiskrim yang mana ­sasarannya adalah peserta perkhemahan. Namun, sangkaannya meleset sama sekali kerana perkhemahan itu hanyalah tempat penahanan sementara Pati.

Menurut Navid, dia menetap di daerah ini hampir tiga tahun dan baru 15 hari menjual aiskrim.

“Sekiranya saya tahu di sini (Jeram) tempat tahanan sementara, sudah lama saya lari. Saya datang hanya mahu menjual aiskrim, tetapi rupanya mereka semua penguat ­kuasa Imigresen. Pasport saya sudah tamat ­tempoh dan sudah perbaharuinya Julai tahun lalu tetapi sehingga kini saya belum dapat lagi pasport ­berkenaan,” katanya.

Navid berkata, dia mempunyai keluarga angkat di pekan Bahau.

“Saya pasrah dengan apa yang berlaku selepas ini,” katanya yang hanya tersenyum susulan ditahan ­ketika menjual aiskrim.

sumber : sinarharian

No comments: