KUALA LUMPUR – Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) kini sedang mengeluarkan kesemua injap-injap yang perlu diganti dan kemajuan kerja-kerja yang dijalankan setakat ini adalah pada tahap 20 peratus serta mengikut jadual ditetapkan.
Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Abdul Halem Mat Som berkata, setakat jam 11.30 pagi semalam, itu status yang dimaklumkan oleh Splash kepada pihaknya.
Menurutnya, pada masa sama, pihak Syabas turut membuat pemantauan paras 15 kolam-kolam utama yang membekalkan air ke kelima-lima Wilayah yang terbabit dari secara berterusan.
"Setakat pada jam 11.30 pagi ini (semalam), didapati paras kolam-kolam utama di kawasan-kawasan yang terjejas masih lagi pada paras stabil dan susut pada tahap 20 peratus.
"Kebanyakan kawasan masih lagi menerima bekalan air seperti biasa manakala sesetengah kawasan lagi pula mula mengalami tekanan air rendah," katanya dalam satu kenyataan berhubung status terkini berkaitan gangguan bekalan air berjadual di 153 kawasan di 5 wilayah iaitu Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat sejak 8 pagi tadi.
Gangguan itu disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) selenggaraan Splash berikutan kerja-kerja penyenggaraan serta menukar aset-aset utama di loji tersebut.
Abdul Halem berkata, mengikut rekod Puspel, setakat ini, sejumlah sembilan aduan berhubung ketiadaan bekalan air, satu aduan tekanan air rendah dan empat permintaan lori tangki direkodkan.
Katanya, pada masa sama, pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh hentitugas LRA SSP1 tersebut.
Beliau berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu disarankan supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.
sumber : sinarharian

No comments:
Post a Comment