Partime Job

Thursday 22 March 2012

Kelam-kabut angkat periuk


ALOR SETAR - Menyedari kehadiran penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan pada bahagian dapur di sebuah restoran, seorang pekerja kelam-kabut mengangkat periuk yang diletakkan di lantai.

Tindakan lelaki itu untuk menyembunyikan kesalahan yang dilakukan tidak berhasil apabila berjaya dikesan Penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

Restoran itu merupakan salah satu dari 15 premis makanan yang diarahkan ditutup pada Operasi Nasi Kandar yang dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, semalam.

Operasi yang turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu disertai 58 anggota dan telah melakukan pemeriksaan pada 31 premis makanan.

Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar, Dr Abu Hashim Ahmad berkata, bagi premis makanan yang diberi perintah penutupan serta merta di bawah Akta Makanan 1983, mereka diberi tempoh 14 hari untuk menjalankan kerja pembersihan.

“Kita menjalankan operasi ini dengan memberi tumpuan di kedai nasi kandar dan medan selera yang terdapat di pusat bandar raya ini. Langkah ini bertujuan memastikan tahap kebersihan pada premis makanan yang menjadi tumpuan orang ramai menjamu selera,” katanya.

Selain faktor kebersihan, operasi yang dijalankan itu turut mengesan beberapa kes lain seperti peniaga membiarkan tong sampah tanpa ditutup dan menggunakan tin minuman yang kemek.

Dr Abu Hashim berkata, operasi yang dijalankan ini juga membantu hak pengguna untuk mendapatkan makanan yang bersih dan selamat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memeriksa tahap kebersihan premis makanan sewaktu menjamu selera bagi mengelak daripada mengalami keracunan makanan, cirit-birit atau kolera.

“Operasi yang dijalankan ini turut melakukan pemeriksaan di 33 premis larangan merokok dan telah mengeluarkan sebanyak 16 kompaun dengan nilai RM4,000. Bagi kesalahan ini, mereka perlu membayar kompaun sebanyak RM250 dan sekiranya bayaran dibuat serta merta diskaun sebanyak 50 peratus diberikan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: