Partime Job

Thursday 22 March 2012

Chong Wei dalam pemantauan


IMPIAN menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menuai emas pertama negara pada temasya Olimpik Julai ini masih kabur, berikutan kecederaan bahu dialami pemain badminton nombor satu dunia itu masih belum pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, beliau telah mengarahkan fisioterapi untuk melakukan rawatan susulan selepas menerima maklumat terperinci mengenai kecederaan Chong Wei.

“Kita perlu memperincikan rawatan dan membuat keputusan mengenai penglibatan dan aktiviti yang boleh dilakukan Chong Wei supaya dapat meneruskan latihan.

“Ia penting bagi memelihara kecergasan dan kemahiran tertentu tanpa perlu menjejaskan pemulihan otot yang tercedera,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), semalam.

Kelmarin, Chong Wei menjalani ujian Magentik Resonance Imaging (MRI) bagi menentukan tahap kecederaan yang dialaminya semasa aksi final Seluruh England menentang Lin Dan, minggu lalu.

Akibat kecederaan tersebut, Chong Wei terpaksa menarik diri pada set kedua sekali gus memberi kemenangan kepada pemain sensasi China itu.

Malah, pemain kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa melupakan aksi awal Piala Axiata yang bermula esok hingga Ahad ini.

Bagaimanapun penjelasan­ lanjut berhubung laporan kesihatan pemain itu akan dibuat pada sidang media khas yang akan turut dihadiri oleh Chong Wei dan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock di ISN, hari ini.

sumber : sinarharian

No comments: