Partime Job

Tuesday 20 March 2012

jari-jemari 'mesra' jalinan mengkuang


KELIHATAN sosok tubuh seorang wanita duduk bersimpuh di atas tikar mengkuang sambil jari-jemarinya pantas menjalin juraian daun mengkuang kering dengan penuh asyik.

Begitulah rutin Hamiah Zahid, 47, setiap hari. Jika tidak menganyam mengkuang untuk dibuat tikar atau kelarai, ibu kepada tiga orang anak ini akan membuat produk-produk kraf lain yang berasaskan mengkuang seperti kotak hadiah, kusyen, beg, kotak pensil, dompet duit dan pelbagai produk lain.

Dalam satu kunjungan media ke bengkel kraf milik Hamiah iaitu Cherating BNB Craft di Lot 3685, Kampung Cherating, Jalan Bukit Palas, Kuantan, Pahang baru-baru ini, mata masing-masing tertumpu pada pelbagai hasil kraf berwarna-warni yang diperbuat daripada mengkuang.

Pengaruh orang tua-tua

Anak sulung daripada lapan beradik ini memberitahu, penglibatannya dalam bidang anyaman mengkuang banyak dipengaruhi oleh orang-orang tua yang menganyam kelarai.

“Minat saya mula timbul melalui pemerhatian daripada orang-orang lama yang menganyam kelarai. Hasil seninya yang halus dengan pelbagai motif membuatkan saya mahu mendalaminya.

“Sejurus tamat sahaja Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), keesokan harinya saya terus mula belajar seni menganyam,” katanya yang mula serius dalam bidang anyaman pada umur 19 tahun.

Hamiah akan mengambil bahagian dalam Hari Kraf Kebangsaan 2012 kali ke-10 pada 21 Mac hingga 2 April ini. Acara yang bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur itu pernah menjalani Kursus Asas Latihan Anyaman di Terengganu dari tahun 1988 hingga 1990.

Tiga tahun kemudian, dia membuka bengkel di dapur rumah ibunya. Bermula dengan dua buah mesin, berkat kesungguhannya berbayar apabila sebuah bengkel berhampiran rumahnya dibuka pada akhir tahun 2008 hasil bantuan daripada Kraftangan Malaysia.

Sejak itu, perniagaannya berkembang hingga membolehkannya bergelar usahawan yang bernaung di bawah projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Kejayaannya hari ini bukan sahaja daripada usaha penat jerih tulang empat keratnya, malah disokong dengan bantuan daripada pihak Kraftangan Malaysia yang memberikan kemudahan mesin jahitan sebanyak enam buah, lapan buah mesin daripada bantuan ekonomi kampung dan lima buah mesin lagi dibeli sendiri.

Penyandang Anugerah Usahawan Jaya Seni Anyaman 2007 (Kraftangan Malaysia) ini tidak pernah jemu membuat kerja-kerja anyaman dan mencipta produk kraf.

“Tiada istilah jemu dalam kamus hidup saya kerana bidang anyaman ini sudah menjadi darah daging saya.

“Lagipun, setiap hari kita lakukan kerja-kerja yang berbeza dan tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan pelanggan yang sentiasa ada,” ujar wanita yang pernah mendapat Anugerah Kunita Jaya 2005 (Kementerian Pertanian Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang),” katanya.

Permintaan

Tidak lokek dengan ilmu di dada, Hamiah turut membuat kelas anyaman apabila dijemput oleh pihak-pihak tertentu sama ada memenuhi jemputan orang perseorangan, jemputan Kraftangan Malaysia dan organisasi lain.

Produk manakah yang paling sukar untuk dibuat? Hamiah sambil tersenyum memberitahu tiada satu pun yang susah untuk dibuat.

“Walaupun tumpuan pada penghasilan kraf tangan melalui anyaman mengkuang, saya turut mempelbagaikan produk dengan memasukkan elemen batik dan songket supaya ia lebih menarik selain memberikan banyak pilihan kepada pelanggan.

“Tempahan beg mengkuang untuk seminar paling banyak permintaan selain daripada kotak-kotak hadiah,” ujarnya yang turut menghasilkan bantal kusyen daripada mengkuang.

Kebanyakan produk yang dihasilkan oleh Cherating BNB Craft dijual pada harga serendah RM2.50 hingga RM400 bergantung pada produk.

Biasanya produk yang paling mahal ialah tikar kelarai kerana proses pembuatannya rumit.

Hamiah bukan setakat tahu menganyam, malah dia sendiri boleh melakukan proses menghasilkan daun mengkuang daripada pokok sehinggalah menjadi produk akhir.

Proses daun

Walaupun fokus perniagaan kepada produk hiliran sahaja, Hamiah juga memproses daun mengkuang jika ada kelapangan.

Bekalan daun mengkuang yang siap diproses biasanya diambil dari Rompin, Pahang yang dihantar antara 10 hingga 20 kilogram (kg) pada satu-satu masa pada harga RM18 sekilogram jika dibeli secara borong.

Menurut Hamiah, kesabaran, ketekunan dan kecekapan perlu ada pada seseorang yang mahu mempelajari seni anyaman mengkuang selain kreativiti sebagai nilai tambah.

Dia yang mewarisi kemahiran anyaman daripada ibunya, Senik Embong, 68, memberitahu, enam bulan diperlukan oleh seseorang untuk menguasai teknik anyaman asas.

“Mereka perlu tahu sekurang-kurangnya 10 jenis kelarai supaya dapat menghasilkan tikar yang pelbagai motif.

“Antara motif untuk membuat anyaman terdiri daripada motif manusia, haiwan, flora dan fauna seperti pucuk rebung, bunga pecah lapan, Cik Kedah Ketapang, Cik Kedah Berakar, Cik Kedah Bersila, bunga gedung, kepala gajah, cengkih beranak dan sebagainya,” katanya yang dibantu empat orang pekerja.

Kadangkala, secara tidak sengaja Hamiah mencipta motif kelarai baharu. Ia terjadi apabila motif kelarai yang mahu dibuatnya tidak menjadi, contohnya, mahu membuat kelarai cengkih beranak tetapi tidak menjadi.

Baginya, anyaman mengkuang yang menjadi warisan zaman-berzaman perlu diberikan nafas baharu supaya ia dapat menarik lebih ramai penggemar kraf tangan tersebut bukan sahaja dalam kalangan pelancong asing, malah penduduk tempatan.

Siapa kata kemahiran anyaman mengkuang tidak membawa seseorang itu ke mana-mana kerana ia tidak glamor seperti kerjaya lain?

Buktinya, Hamiah sendiri sudah pergi merata pelosok dunia untuk mempromosikan kraf tangan anyaman mengkuang.

Antara negara yang pernah dikunjunginya ialah Sweden, Thailand, China, Jepun dan Singapura.

“Biasanya, apabila melakukan demonstrasi anyaman mengkuang di luar negara, mereka gemar melihat sesuatu yang mempunyai nilai tradisional seperti produk yang 100 peratus dianyam tanpa ada campuran lain.

“Barang yang selalu dibeli pelancong ialah pelapik pinggan dan beg kecil yang dianyam comel,” ujarnya.

Bantu kakak

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Anak bongsunya, Ainn Khaulah Bashariah Abdul Rahim, 11, pandai menganyam.

“Jika ada kelapangan kakak dan abangnya, Ainn Saqkinnah, 16, dan Burhannuddin Helmi, 13, turut turun padang membantu saya di bengkel ini,” katanya.

Dalam pada itu, adik Hamiah, Aidassuriani Zahid, 32, sudah lapan tahun bekerja dengan kakaknya.

“Saya mula membantu Kak Miah ketika bersekolah darjah empat lagi. Selepas pulang dari sekolah, saya akan membantunya menggosok dan memotong kepingan-kepingan mengkuang untuk dijadikan beg.

“Lagipun, saya suka kerja ini sebab minat. Saya boleh menjahit beg dan membuat produk kraf tangan lain seperti cenderamata,” kata ibu kepada enam orang anak ini.

Aidassuriani lebih senang bekerja dengan kakaknya kerana waktu bekerja yang lebih fleksibel bagi membolehkannya mengurus rumah tangga pada masa yang sama.

“Saya juga boleh menganyam mengkuang tetapi anyaman asas sahaja, tidaklah sehandal Kak Miah,” katanya yang pernah mengikuti kursus asas anyaman.

sumber : kosmo-pesona

No comments: