Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Pemeriksaan mata percuma Vista


MATA merupakan salah satu daripada pancaindera penting manusia yang digunakan untuk melihat. Ia sama nikmatnya dengan empat lagi pancaindera lain iaitu lidah, hidung, telinga dan tangan yang memainkan fungsi merasa, menghidu, mendengar dan menyentuh.

Namun, kepentingan penjagaan kesihatan deria tersebut seringkali dipandang enteng oleh kebanyakan kita, terutamanya soal kesihatan mata.

Tanyalah pada diri sendiri, bilakah kali terakhir anda menjalani pemeriksaan mata? Lazimnya, kita hanya merujuk ke klinik apabila mata terasa sakit dan pandangan mulai kabur.

Menyedari situasi masyarakat hari ini yang kurang mengambil berat perihal penjagaan kesihatan mata, Vista Vision Specialist (Vista) mengambil inisiatif menganjurkan karnival keluarga yang berlangsung selama tiga hari pada bulan lalu.

Karnival itu diadakan serentak di tiga lokasi di Lembah Klang iaitu di premis Vista di Jalan Maarof, Bangsar; Jalan Mahogani, Bandar Botanic, Klang dan The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Kosmo! yang sempat meninjau karnival tersebut di The Curve mendapati ramai orang yang ‘menyerbu’ premis Vista untuk mendapatkan pemeriksaan mata percuma.

“Penjagaan kesihatan mata selalu dianggap remeh oleh kebanyakan orang. Jadi, dengan adanya penganjuran karnival ini, kita memberi peluang kepada orang ramai untuk tampil menjalani pemeriksaan mata percuma.

“Sambutan daripada orang awam sangat menggalakkan termasuk lebih 200 orang telah menjalani pemeriksaan mata. Ini menunjukkan mereka semakin sedar betapa pentingnya penjagaan kesihatan mata,” kata Eksekutif Pemasaran Vista, Law Kai Yeung.

Pemeriksaan

Tambahnya, pengunjung karnival tersebut bukan sahaja menjalani pemeriksaan mata biasa, tetapi turut membuat pemeriksaan mata untuk mengesan katarak, glaukoma, degenerasi makular berkaitan umur (AMD) dan pemeriksaan tekanan mata.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melakukan ujian pendengaran, pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI) oleh pihak pusat pelangsingan badan, Bizzy Body, rawatan tangan serta perundingan dan tip mengenai kesihatan pergigian.

Bagi pengunjung yang membawa si kecil, Vista turut menyediakan aktiviti menarik buat mereka sementara menunggu ibu bapa masing-masing menanti giliran dan mengikuti sesi pemeriksaan.

Si kecil berpeluang menguji kreativiti mereka dengan aktiviti seni pasir warna, lukisan wajah dan menonton wayang mini di sudut-sudut yang disediakan.

Selain itu, mereka berkesempatan merakamkan momen indah di sudut fotografi dengan berlatarbelakangkan set mini studio yang dihias indah.

“Bagi pemeriksaan AMD dan katarak, pengunjung boleh mendapat keputusan hasil pemeriksaan serta-merta. Sementara itu, keputusan pemeriksaan untuk glaukoma pula mengambil masa yang lebih panjang kerana pemeriksaan lanjutan perlu dibuat untuk memperoleh keputusan tepat.

Khidmat rundingan

“Selepas semua pemeriksaan mata dijalankan, pengunjung boleh mendapatkan khidmat perundingan daripada pakar kami,” ujar Kai Yeung.

Kelihatan ramai pengunjung begitu serius menjalani pemeriksaan mata masing-masing dan tekun mendengar nasihat khidmat perundingan daripada pakar oftalmologi.

Ramai juga yang membawa ibu dan bapa dalam lingkungan usia emas untuk sama-sama menjalani pemeriksaan mata.

Bagi seorang suri rumah, Nurul Fara Mohd. Said, 32, sesi pemeriksaan mata seperti yang disertainya sempena karnival tersebut perlu dilakukan secara berkala sebelum terlewat.

“Ramai orang tidak menitikberatkan pemeriksaan mata secara berkala kerana menganggapnya sesuatu yang remeh.

“Ia sebenarnya amat penting kerana upaya penglihatan adalah anugerah yang tidak ternilai dan tanpanya sukar untuk kita menjalani kehidupan seharian,” ujarnya sambil memberitahu karnival sedemikian wajar diperluaskan di kawasan pedalaman.

Suaminya, Khairisyahrin Mukhtar, 35, pula memberitahu, dia pernah menjalani pembedahan LASIK di Vista. LASIK adalah pembedahan untuk membetulkan masalah penglihatan yang membabitkan kornea.

“Sebaik sahaja keluar daripada bilik pembedahan, saya dapat melihat dengan jelas tanpa memakai cermin mata.

“Perkhidmatan di sini juga sangat memuaskan. Oleh itu, saya selalu mengesyorkan Vista kepada rakan-rakan dan keluarga saya yang mahu melakukan pemeriksaan mata,” katanya yang sebelum ini memakai cermin mata dengan kuasa kanta lebih 800.

Karnival ini sudah masuk tahun ketiga. Setiap tahun Vista akan mengadakan karnival keluarga seumpama itu sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Februari, Jun dan November.

sumber : kosmo-pesona

No comments: