Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Timba ilmu baka kucing


BAKA kucing seperti Bengal, American Shorthair, American Curl Longhair, Burmese, Siamese, British Shorthair, Oriental, Savanah dan pelbagai jenis baka lain telah mencuri tumpuan pengunjung pusat penjualan perabot dan perkakasan kediaman, Viva Home, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat wajah kucing yang comel, berbulu lebat dan halus serta aksi berguling-guling penuh manja di dalam sangkar sudah pasti membuatkan orang ramai berasa geram untuk mendekati kucing-kucing itu.

Pameran yang dianjurkan oleh Persatuan Peminat Kucing Malaysia (MCFA) dengan kerjasama Viva Home itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai penjagaan kucing selain menyemai rasa cinta terhadap kucing dan menghargai haiwan itu.

Tambah menarik, orang ramai berpeluang menyaksikan sebanyak 50 ekor kucing pelbagai jenis dalam pameran tersebut.

Seiring penganjuran pameran tersebut, beberapa aktiviti berorientasikan kekeluargaan telah disusun bagi memeriahkan acara yang berlangsung selama enam hari bermula pada 24 hingga 29 Februari lalu.

Acara menarik

Antara aktiviti yang diatur ialah pertandingan melukis dan mewarna serta pameran seni lukisan yang bermotif kucing dari Balai Seni Lukis Negara. Pengunjung juga berpeluang melihat dan memiliki cenderamata bermotif kucing.

Dalam pameran itu, Presiden MCFA, Ismail Mohd. Ali memberi penerangan kepada orang ramai untuk mengenali baka kucing.

Beliau ketika ditemui Kosmo! mengakui bahawa tidak ramai pihak yang memberi pendedahan berhubung variasi baka haiwan berkenaan.

“Orang ramai diajar mengenali jenis baka dari segi bulu, mata, warna dan telinga,” katanya sambil memberitahu pameran itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ismail memberitahu, pameran sedemikian dapat membangkitkan minat orang ramai dalam usaha dan tanggungjawab memelihara kucing.

Pada masa yang sama, minat tersebut sekurang-kurangnya mampu mengisi masa lapang golongan remaja dengan aktiviti yang berfaedah.

“Orang ramai yang mengunjungi pameran tersebut berpeluang mengetahui mengenai potensi memelihara kucing ini boleh dikomersialkan.

“Mereka mampu menjana pendapatan lumayan dengan memeliharanya,” jelasnya yang berharap pameran itu dapat diteruskan pada masa depan.

Pada masa yang sama, beliau berharap badan-badan korporat dapat menghulurkan bantuan supaya projek berbentuk pendidikan mengenai baka kucing dapat dijalankan dengan sempurna.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang menghadiri pameran itu memuji langkah penganjur yang mengadakan pameran kucing tersebut.

Seorang pengunjung, Azmira Mohd. Azam, 17, mengakui sebelum ini dia sukar mencari maklumat berhubung baka kucing.

“Memang susah untuk mengetahui baka kucing namun melalui pameran ini saya dapat menimba pengetahuan mengenai haiwan ini dengan lebih terperinci,” ujarnya.

sumber : kosmo -pesona

No comments: