Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Jangan salah sangka kejadian culik berleluasa: KPN

MELAKA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, meminta orang ramai tidak tersalah sangka seolah-olah kejadian culik berleluasa di negara ini sehingga keadaan tidak terkawal.

Katanya, laporan akhbar mengenai satu dua kes yang berlaku kebelakangan ini disensasikan berikutan orang ramai yang suka membaca laporan itu

Sehubungan dengan itu, tiada keperluan menubuhkan pasukan petugas khas untuk kes culik, kata beliau.

"Penting saya jelaskan, jangan anggap satu dua kes (yang dilaporkan) dah merosakkan, kita tak selamat, anak kita tak selamat, ini tidak betul," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan orang ramai berhubung kes culik - terbaru seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 16, yang dilaporkan diculik di Kuantan, Pahang pada Ahad lalu.

Sebelum itu, pada 30 Januari lalu, lepas, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berasal dari Shah Alam dilaporkan diculik oleh sindiket pelacuran antarabangsa dan dilarikan ke Thailand.

Remaja itu bagaimanapun berjaya melarikan diri dan dihantar balik ke sini serta sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Pada 1 Mac lalu, seorang kanak-kanak, Nurul Nadhirah Abdullah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang yang sebelumnya dilaporkan hilang, ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor Bahru pada 8 Mac.

Ismail berkata, ketua polis negeri boleh menangani masalah itu termasuk laporan pasukan penyiasatan dari negeri berkenaan berhubung kes itu.

"Saya yakin kes di Johor dah diselesaikan dan yang terkini (di Pahang), tunggu satu, dua hari, ada berita baik untuk semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan secara terbuka berhubung dakwaan wujud elemen rasuah membabitkan anggota polis dalam aktiviti "bookie" bola sepak di Johor.

Beliau mengulas laporan media semalam berhubung dakwaan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bahawa anggota polis terbabit dalam aktiviti menentukan perlawanan atau bookie bola sepak.

Baginda meminta polis Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu. - BERNAMA

No comments: